PETALING JAYA – Memasuki usia 40 tahun, bukan semua jenis makanan dan minuman sesuai untuk dinikmati kerana ia boleh menjejaskan kesihatan.
Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan individu dalam kumpulan usia tersebut bahawa segelas teh tarik boleh membuatkan jantung mereka berdebar, perut mula menonjol dan sendi terasa sakit meskipun tidak melakukan aktiviti berat.
“Dulu boleh berjaga malam, makan sesuka hati. Kini segelas teh tarik pun kadang buat jantung berdebar. Perut mula buncit, sendi mula terasa. Tapi kita terus bertahan, sebab hidup mesti diteruskan,” kata PHM dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut PHM, antara makanan dan minuman yang wajar dikurangkan apabila usia mencecah 40 tahun adalah ayam goreng, keropok lekor, sosej, daging salai, kuih manis, teh tarik, kopi dan minuman boba.
“Jika hari ini terasa susah untuk tinggalkan ayam goreng, minuman manis atau makanan segera, tak mengapa. Mulakan perlahan, kurangkan sedikit demi sedikit.
“Bukan kerana kita tak boleh makan langsung, tapu kerana tubuh kita sekarang perlukan lebih kasih sayang,” pesan PHM. – KOSMO! ONLINE