JOHOR BAHRU – UDA Holdings Berhad (UDA) mengumumkan senarai 70 pemenang hadiah cabutan bertuah dengan nilai keseluruhan RM300,000 sempena Kempen Hartanah UDA 2024/2025 pada Sabtu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil berkata, seramai 268 pembeli menyertai cabutan berkenaan dengan 55 peratus daripadanya bumiputera.
Beliau berkata hadiah utama merupakan sebuah Proton S70 1.5T Executive, menakala hadiah lain termasuk dua motosikal Modenas Elegan, tiga kerusi urut Ogawa, serta empat pakej percutian tiga hari dua malam ke Hard Rock Hotel Pulau Pinang dan Hard Rock Hotel Desaru, Johor.
Menurutnya, sebanyak 30 baucar Harvey Norman bernilai RM500 serta 30 baucar SSF Home bernilaiRM500 turut diberikan.
“Peserta merupakan pembeli yang telah menandatangani perjanjian jual dan beli (SPA) sepanjang tempoh kempen diadakan.
“UDA merekodkan jualan bernilai RM250 juta (sepanjang kempen) dengan Johor antara negeri yang mencatatkan sambutan memberangsangkan.
“Majoriti hartanah yang terjual bernilai di bawah RM1 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Cabutan Pemenang Hadiah Bersempena Karnival Jom Heboh di Angsana Johor Bahru Mall, di sini.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah Kumpulan UDA, Azrudyn Rashid; Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn. Bhd., Muhammad Ismail Dasuki; serta Ketua Pegawai Operasi UDA Angsana Sdn. Bhd., Imran Salleh.

Johari berkata, antara projek hartanah pilihan sepanjang kempen itu adalah kediaman bertanah di Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR) Fasa 6; Sarai KTGR Fasa 5 dan Pelindung Heights Fasa 1B di Kuantan; Crescent Dew di Bertam; Taman Sena Permai di Kangar; Mawar di Taman Sultan Sallehuddin, Alor Setar; serta Areca Terrace 4B di Bandar UDA Utama, di sini.
Pada masa sama, projek jenis strata turut mendapat sambutan iaitu 38 Bangsar, Pangsapuri Dedaun Residensi dan Legasi Kampong Bharu di Lembah Klang; Residensi Amaanee dan Residensi Evoke di Pulai Pinang; Neu Pendington di Kuching, Sarawak; serta kedai pejabat 21BizHub di Bandar Uda Utama, di sini.
Menurut beliau, kempen tersebut akan merancakkan lagi jualan hartanah merentasi lima wilayah pembangunan utama UDA, selain menggalakkan pemilikan hartanah yang lebih inklusif dan mampan, khususnya dalam kalangan bumiputera.
“UDA berharap dapat terus konsisten memperkasa pemilikan hartanah dalam kalangan bumiputera dan kami optimis mampu meningkatkan lagi peratusan pemilikan hartanah Kumpulan berkenaan dengan pelbagai inisiatif yang dirancang pada masa akan datang,” katanya.
Johari menambah, UDA turut menawarkan kempen khas ‘Snap & Sign Deals’ dengan ganjaran istimewa bernilai sehingga RM100,000 kepada pembeli produk hartanah UDA dan tertakluk pada terma syarat.
Kempen itu diadakan sempena penyertaan UDA di Karnival Jom Heboh yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall dari 27 Jun sehingga 29 Jun. – KOSMO! ONLINE