Tujuh pelumba bantu Vingegaard tawan TdF

9 hours ago 6

LILLE – Misi Jonas Vingegaard untuk merampas kejuaraan Tour de France (TdF) bakal digalas tujuh pelumba terbaik Team Visma – Lease a Bike menjelang perlumbaan berstatus World Tour edisi ke-112 itu bermula 5 Julai ini.

Juara dua kali berturut-turut itu akan disokong gandingan mantap Wout van Aert, Sepp Kuss, Simon Yates, Matteo Jorgenson, Tiesj Benoot, Victor Campenaerts dan Edoardo Affini dalam misi besar untuk mencipta kejuaraan.

Berdasarkan senarai itu, Affini satu-satunya pelumba yang bakal membuat penampilan sulung di TdF selepas mengambil tempat Christophe Laporte yang menarik diri saat akhir.

Ketua bahagian perlumbaan, Grischa Niermann menjelaskan segala perancangan telah dibuat secara teliti bagi memastikan Vingegaard mendapat perlindungan maksimum sepanjang 21 peringkat perlumbaan.

“Dari hari pertama, kami akan bekerja sebagai satu unit untuk bantu Jonas mengawal kedudukan GC (general classification). Kami percaya sepenuhnya dengan pelan ini dan akan kekal fokus pada strategi sendiri,” katanya.

Selain tugas melindungi Vingegaard terutama di peringkat pendakian, beberapa pelumba lain seperti Van Aert dan Campenaerts dijangka diberikan kebebasan untuk memburu kemenangan peringkat.

Visma juga bakal mencuri tumpuan menerusi jersi khas ‘The Swarm’ direka hasil kolaborasi bersama peminat dengan nama penyokong dicetak pada rekaan jersi, simbolik kepada kekuatan komuniti dan kesatuan pasukan.

Bukan sahaja Vingegaard, jersi itu juga bakal dipakai bintang wanita, Marianne Vos dan Pauline Ferrand-Prevot sekali gus membuktikan jenama Visma mengangkat nilai penyokong sebagai sebahagian daripada kejayaan.

“Persiapan kali ini sangat optimum. Tekanan akan datang dari semua arah, tapi menerusi pelan yang kukuh dan barisan pelumba terbaik kami ada,” ujar Niermann.

Kehadiran pakar pendakian seperti Kuss, Van Aert dan Vingegaard yang semakin pulih selepas kecederaan musim lalu, Visma jelas bersedia untuk sekali lagi menggegarkan pentas berbasikal terbesar dunia. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |