Trump kena kecam syor diri layak terima Nobel Keamanan

7 hours ago 5

WASHINGTON – Donald Trump sekali lagi mengundang kontroversi apabila namanya disebut-sebut sebagai calon penerima Hadiah Nobel Keamanan ketika ramai yang mempersoalkan kelayakan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu untuk menerima anugerah berprestij tersebut.

Seorang wartawan memberitahu Trump bahawa beliau mungkin layak untuk dicalonkan berikutan peranan Washington dalam menjadi orang tengah bagi perjanjian damai antara Republik Demokratik Congo dan Rwanda.

Ia dilihat sebagai titik tolak bersejarah ke arah menamatkan konflik puluhan tahun yang telah meragut lebih enam juta nyawa.

“Presiden Félix Tshisekedi sedang merancang untuk mencalonkan anda untuk Hadiah Nobel Keamanan. Anda layak menerimanya,” kata seorang wartawan kepada Trump di White House.

Bagaimanapun, ramai berpendapat bahawa penglibatan AS dalam perjanjian tersebut lebih menjurus kepada kepentingan ekonomi, memandangkan ia turut akan memberi manfaat kepada kerajaan dan syarikat-syarikat negara itu.

Kontroversi semakin memuncak apabila seorang ahli politik dari Pakistan mencalonkan nama Trump untuk penerima Hadiah Nobel Keamanan ekoran peranannya menjadi orang tengah dalam konflik ketenteraan India-Pakistan baru-baru ini. 

Langkah itu segera mencetuskan kemarahan, dengan para pengkritik menyifatkannya sebagai ‘pujian tidak bertempat’ dan ‘penghinaan terhadap maruah anugerah itu sendiri.’

Pencalonan itu dibuat hanya beberapa jam sebelum AS melancarkan serangan ke atas tapak nuklear Iran.

Ia merupakan satu tindakan ketenteraan yang mendapat kecaman keras dari Pakistan, yang menyifatkannya sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.

Ini ditambah lagi dengan rekod kontroversi Trump dalam menyokong tindakan keras Israel di Gaza dan keengganannya mengutuk kekejaman terhadap orang awam Palestin.

“Tidak, beliau memang tidak layak, tetapi beliau boleh membelinya,” kata seorang netizen. 

“Beliau mencalonkan diri sendiri,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |