Tambang RTS Link masih diperingkat kajian – Anthony Loke

7 hours ago 2

SINGAPURA – Operator perkhidmatan Rapid Transit System Link (RTS Link) sedang melakukan kajian pasaran akhir bagi menentukan kadar harga tambang yang bersesuaian dengan kemudahan tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, antara faktor perlu diambil kira adalah tujuan perkhidmatan tersebut iaitu menukar cara majoriti pengembara merentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.

Menurut beliau, operator perkhidmatan iaitu RTS Operation (RTSO) dianggotai individu dari Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan SMRT Corporation (SMRT), Singapura.

“RTSO sedang buat kajian pasaran akhir untuk menentukan apakah harga tambang yang sesuai. Idea projek adalah memastikan semua pihak dapat menggunakan perkhidmatan tersebut untuk rentas sempadan.

“Sehubungan itu faktor berkenaan perlu diambil kira sebelum harga ditetapkan, tetapi yang pasti ia perlu bersesuaian bagi menukar cara perjalanan,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis pendedahan tren pertama RTS Link di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC), Tuas di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau turut memberitahu kaedah pembayaran akan mengguna pakai sistem pembayaran terbuka termasuk kad debit, kad kredit dan kemungkinan perkhidmatan ‘Touch n Go’.

Sementara itu, Siew Fook turut mengulas cadangan waktu pengoperasian perkhidmatan tersebut yang perlu mengambil kira jadual perjalanan rakyat Malaysia yang bekerja di republik ini.

“Waktu operasi juga akan diputuskan pihak operator, bagaimanapun boleh disahkan perkhidmatan tidak akan berjalan selama 24 jam sehari bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dibuat.

“Tetapi ia akan ambil kira waktu perjalanan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, difahamkan ada yang memulakan perjalanan sebelum pukul 5 pagi. Itu perlu ambil kira,” ujarnya lanjut.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |