Takaful Ikhlas perluas akses takaful buat kakitangan Prasarana

6 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful Ikhlas), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad, hari ini memeterai tiga memorandum persefahaman (MoU) dengan entiti pekerja yang berdaftar di bawah Prasarana Malaysia Berhad iaitu Kesatuan Pekerja-Pekerja Rapid Bus Sdn. Bhd., Kesatuan Pekerja-Pekerja Rapid Rail Sdn. Bhd. dan Koperasi Pekerja Prasarana (M) Bhd.

Melalui kerjasama tersebut, kira-kira 5,000 orang ahli kesatuan dan koperasi terlibat ditawarkan pelan Ikhlas Idaman, iaitu pelan perlindungan takaful keluarga komprehensif dan fleksibel, yang menggabungkan elemen simpanan serta perlindungan yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

Pada harga serendah RM33 sebulan, antara manfaat utama yang ditawarkan termasuk bayaran manfaat penuh secara serta-merta kepada waris bagi kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal akibat sebab semula jadi atau kemalangan.

Manfaat tambahan lain termasuk elaun harian hospital, perbelanjaan serta-merta kematian dan penyakit kritikal.

Pelan itu turut menyediakan Akaun Pelaburan Peribadi, yang membolehkan pemegang sijil menerima manfaat matang atau membuat pengeluaran tunai separa selepas tempoh tertentu.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada strategi pihaknya dalam meningkatkan kadar penembusan perlindungan takaful terutamanya dalam kalangan golongan rentan dan B40.

“Golongan ini kebiasaannya lebih terbuka kepada penerimaan produk seperti perlindungan takaful sekiranya ia hadir daripada badan atau organisasi yang rapat dan mempunyai hubungan dengan mereka.

“Jadi kami cuba membentuk seberapa banyak yang mungkin kerjasama dengan badan seperti koperasi dan kesatuan pekerja untuk menawarkan produk perlindungan takaful keluarga berkelompok seperti pelan Ikhlas Idaman ini, yang secara amnya menawarkan kadar premium rendah berbanding produk biasa yang kira-kira tiga hingga empat kali lebih mahal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pemeteraian kerjasama di ibu pejabat MNRB Holdings di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Takaful Ikhlas turut menyampaikan tuntutan Ikhlas Idaman berjumlah keseluruhan RM109,110.88 kepada waris dua kakitangan Prasarana. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |