‘Tak mahu buat lagu patah hati, takut terbawa emosi’

9 hours ago 5

SELEPAS Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri dan Bella Astillah, kini tiba giliran seorang lagi penyanyi tanah air, Fazura yang menyanyikan lagu ciptaan komposer terkenal dari Indonesia, Ade Govinda.

Hasil kolaborasi antara Fazura dan Ade maka terhasillah lagu yang berjudul Luar Biasa.

Menurut Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 42, dia hanya berbincang selama 10 minit bersama Ade menerusi dalam talian.

“Saya beritahu Ade lagu bagaimana yang saya mahukan. Alhamdulillah saya suka dengan hasilnya.

“Selalunya saya akan ubah beberapa lirik yang saya rasa mungkin kurang sesuai, tetapi kali ini tiada apa pun yang saya nak ubah. Lagu itu ditulis dengan sempurna.

“Saya rasa liriknya sangat menyentuh hati dan sesuai dengan apa yang saya ingin persembahan kepada para pendengar pada waktu ini,” katanya.

KEMBALI dengan lagu baharu berjudul Luar Biasa, Fazura berharap karya ciptaan Ade Govinda itu dapat membantu ramai wanita bangkit daripada kekecewaan.

Bercerita lanjut tentang kisah di sebalik lagu Luar Biasa, Fazura mendedikasikan lagu single berkenaan buat individu yang pernah berdepan ujian dalam hidup dan kembali bangkit.

“Sebelum saya lancarkan lagu ini, saya ada kongsi sedikit bait-bait lirik dalam media sosial iaitu ‘jatuh itu biasa, bangkit itu luar biasa.

“Ramai yang terkesan dengan lirik tersebut dan mereka dapat kaitkan dengan apa yang mereka sedang lalui.

“Matlamat saya untuk menghasilkan lagu yang dapat memberi semangat dan mesej positif kepada pendengar tercapai menerusi lagu ini.

Luar Biasa adalah lagu tentang bagaimana kita mengharungi cabaran dan ujian dalam hidup sehingga ada kalanya kita jatuh terduduk, tetapi kita bangkit dan terus jalani hidup,” kongsinya.

Enggan sedih

Menyelak katalog lagunya sebelum ini, kebanyakan berkisarkan lirik positif seperti Sayangi Dirimu dan Bangun.

Ditanya kenapa dia tidak menghasilkan lagu yang bertemakan cinta atau ‘galau’, bintang filem Pisau Cukur itu tidak mahu menghasilkan lagu yang membuatkan pendengar bersedih.

“Tak nak lah buat lagu tentang putus cinta. Saya nak lagu yang boleh dengar dalam kereta sambil memandu dan memberikan semangat dan inspirasi.

Bukan bermaksud tak boleh dengar lagu-lagu ‘galau’, tetapi sebagai wanita yang kuat, kalau hari-hari dengar lagu sebegitu lama-lama kita akan jadi lebih ‘down’. Seolah-olah kita sengaja mencari kesedihan itu.

“Saya pun kadang-kadang bila dengar lagu Adele saya akan rasa sedih sehingga tertanya kenapa saya sedih ni? Jadi kalau boleh saya nak buat lagu yang memberikan kita semangat supaya menjadi lebih kuat dan teruskan hidup dengan positif,” jelasnya.

FAZURA bersama karyawan dan pasukan Universal Music selepas pelancaran single terbaharunya, Luar Biasa, baru-baru ini.

Namun kata ibu kepada seorang cahaya mata itu, dia juga pernah berkeinginan untuk menghasilkan lagu patah hati.

“Ada perancangan untuk buat lagu patah hati tetapi takut bila lama-lama dengar akan jadi lagi patah hati. Anda akan meratap patah hati itu. Buat apa nak meratap. Tak payahlah.

“Tetapi saya faham pasaran muzik sekarang memang sukakan lagu sebegitu. Orang kita suka layan perasan dengar lagu-lagu sebegitu.

“Mungkin boleh dipertimbangkan bergantung kepada Universal Music Malaysia,” ujarnya.

Luar Biasa telah dilancarkan secara rasmi pada 20 Jun 2025, dan boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox. Video muzik rasmi pula ditayangkan menerusi YouTube rasmi Fazura. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |