KUBANG PASU – Sungai Korok, Jitra di sini meragut 10 nyawa dalam tempoh tujuh tahun termasuk kemalangan mengorbankan enam beranak dalam kejadian terbaharu, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, rekod sejak 2018 itu menunjukkan tiga daripada kejadian tersebut melibatkan kemalangan maut dipercayai berpunca akibat pemandu kenderaan hilang kawalan, tergelincir serta kenderaan terbabas ke dalam sungai.
“Kes yang paling tragis adalah kemalangan terbaharu pada pagi Sabtu lepas yang mengakibatkan enam beranak terkorban apabila kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas sebelum terhumban dalam sungai sepanjang kira-kira 15 kilometer tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, tragedi lain berlaku pada Disember 2021 yang turut mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan Disember 2022 melibatkan seorang kanak-kanak 12 tahun yang turut maut selepas kereta dipandu bapanya terjunam ke dasar sungai.
“Tiada kemalangan berlaku pada 2023 dan 2024. Selain kemalangan pada Sabtu lepas, berlaku juga kemalangan pada awal tahun ini yang melibatkan empat pelajar sebuah universiti yang nyaris terkorban apabila kereta dinaiki mereka terhumban ke sungai tersebut.
“Mereka bagaimanapun dapat menyelamatkan diri setelah berjaya keluar dari kereta jenis Perodua Viva tersebut dan berenang ke tepi sungai,” katanya.
Beliau menambah, antara faktor kemalangan di kawasan tersebut dipercayai berpunca daripada hilang kawalan kenderaan dan tergelincir selain faktor manusia.
“Terdapat tuntutan awam untuk memasang penghadang keselamatan sepanjang laluan bahaya kerana berlaku beberapa kes lemas dan kemalangan maut sebelum ini,” katanya.
Jelasnya, antara cadangan dan tindakan yang akan diajukan kepada pihak terlibat untuk mengatasi perkara itu ialah pemasangan penghadang lebih tinggi dan kukuh di kawasan laluan berisiko.
“Peningkatan papan tanda amaran, jalan gelincir (skid warning), dan pemantauan JKR/JBPM. Kempen kesedaran pengguna jalan raya terutama ketika memandu bersendirian atau membawa keluarga melalui laluan sempit berdekatan sungai juga akan dipertingkatkan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.