Sultan Selangor isytihar UPM kampus Bintulu sebagai UPMS

5 hours ago 4

KLANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu isytiharkan sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).

Pengisytiharan itu berkenan dibuat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sesuai dengan peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) yang memangkin pembangunan negara terutama di Sarawak.

Baginda yang juga Canselor UPM bertitah, UPM Kampus Bintulu bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang pertanian, perhutanan dan keterjaminan makanan malah menjadi institusi berdaya saing di rantau Borneo dan antarabangsa.

“Beta berharap, usaha dan komitmen UPM dapat diteruskan untuk membangun bakat dan kepakaran bagi kemajuan sosio ekonomi negara.

“Ini terutamanya di Sarawak melalui pelan tindakan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM yang dibangunkan,” titah baginda pada Majlis Pengisytiharan UPMS di Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin menegaskan, baginda menghargai sokongan diberikan oleh pengurusan tertinggi UPM, Kerajaan Sarawak dan Kementerian Pendidikan Tinggi yang disifatkan sebagai amat penting dalam memperluas akses kepada pendidikan berkualiti dan memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.

Sementara itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut hadir pada istiadat tersebut memaklumkan penjenamaan UPMS signifikan bagi negeri itu selepas diwujudkan sejak tahun 1974 di Sarawak.

Ujarnya, ia sekali gus menjadikan sebagai universiti tertua beroperasi lebih 50 tahun di Sarawak.

“Pemerkasaan UPMS amat selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), khususnya dalam sektor pertanian, perhutanan, dan tenaga boleh diperbaharui.

“Inisiatif yang membanggakan ialah pelaksanaan projek
AgriHub@Gedong, hasil kerjasama strategik antara Pejabat Premier Sarawak dan UPMS,” jelasnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, projek itu bertujuan menerajui transformasi kegiatan penanaman padi di Lubok Punggor, Gedong, dan merupakan titik permulaan penting dalam usaha membangunkan Sarawak sebagai hab pengeluaran padi berimpak tinggi di peringkat nasional.

“Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memajukan bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan strategik yang selari dengan keperluan Sarawak dan aspirasi pembangunan lestari,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |