SPRM dibenar pinda notis usul aset Na’imah di London

8 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meminda notis usul berhubung permohonan mereka untuk membekukan aset bernilai GBP132 juta (RM758.2 juta) di London, United Kingdom (UK) yang didakwa dimiliki isteri kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarganya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide memaklumkan kepada mahkamah bahawa pindaan itu membabitkan penambahan dalam butiran dalam notis usul itu.

“Permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) adalah untuk meminda notis usul pada 30 Mei lalu iaitu menambah butiran alamat penuh berserta nombor hak milik mengikut format pihak penguatkuasa di UK dan meminda butiran tarikh serta nilai pembelian ke atas harta-harta tidak alih dalam notis usul itu,” katanya.

Aset-aset itu ialah dua bangunan komersial di St Mary Axe dan One Crown Court, tiga kediaman mewah di Bryanston Square, Bryanston Mews dan Lancaster Gate, dua unit kediaman di Gloucester Place dan satu akaun bank CAF Bank Limited (UK) didakwa milik The Ilham Foundation.

Terdahulu, semasa prosiding peguam Syed Afiq Syed Albakri yang mewakili Na’imah berkata, enam syarikat termasuk The Ilham Foundation memohon untuk menjadi pencelah dalam permohonan SPRM bagi membekukan aset-aset terbabit.

Mendengar perkara itu, pendakwaan membantah permohonan enam syarikat tersebut untuk menjadi pencelah.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Azhar kemudian mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit balasan bagi permohonan mencelah itu pada 25 Julai ini.

Sementara enam syarikat terbabit perlu menfailkan afidavit balasan pada 6 Ogos ini selain menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 8 Ogos ini.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan pihaknya membekukan tujuh hartanah dan satu akaun bank milik Na’imah adalah bagi mengelakkan ia dilupuskan ketika siasatan sedang dijalankan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada tindakan awal yang dilakukan suruhanjaya itu bagi melaksanakan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |