PETALING JAYA – Sabah yang terletak di utara pulau Borneo terkenal sebagai syurga bagi pencinta burung kerana terdapat lebih daripada 600 spesis burung unik dan sebahagiannya adalah spesies endemik iaitu hanya boleh ditemui di Sabah.
Keistimewaan negeri di bawah bayu yang terletak pada kepelbagaian habitat burung,dari pergunungan hutan ke hutan hujan tanah rendah hingga ke kawasan paya menimbulkan minat yang mendalam kepada peminat burung untuk melaksanakan aktiviti memerhati atau mencerap burung.
Menurut Sabah Tourism, aktiviti berkenaan bukan sahaja dikenali sebagai satu hobi yang menyeronokkan, malah memberi peluang untuk peminatnya lebih dekat dengan alam semula jadi.
Jelasnya, mereka yang berminat menyertai pelbagai aktiviti berkaitan burung, boleh menghubungi badan-badan seperti Persatuan Pemerhati Burung Sabah (Sabah Birdwatchers Association) atau Borneo Bird Club.
“Organisasi ini sering menganjurkan aktiviti berkumpulan, bengkel dan program komuniti yang sesuai untuk pemula yang ingin mempelajari lebih lanjut dan membina rangkaian bersama pakar tempatan.
“Melalui sokongan profesional dan komuniti yang aktif, pengalaman memerhati burung anda di Sabah pasti akan menjadi lebih bermakna, selamat, dan menyeronokkan.
“Yang paling penting, usah terburu-buru kerana memerhati burung bukan sekadar menandakan spesies dalam senarai, tetapi mengajar kita untuk menyayangi alam sekitar dan hidupan liar.
“Perjalanan itu sama pentingnya dengan destinasi, dan setiap detik yang dihabiskan untuk memerhati, mendengar, dan belajar membawa anda lebih dekat dengan keajaiban alam semula jadi,” katanya.
Selain itu, Tourism Sabah menjelaskan, Festival Burung Borneo yang dianjurkan setiap tahun akan kembali berlangsung pada 25 hingga 26 Oktober 2025 di Rainforest Discovery Centre, Sandakan bakal memberi peluang kepada peminat untuk menyertai acara berkenaan.
“Festival ini mengumpulkan peminat burung tempatan dan antarabangsa, jurugambar, serta pejuang pemuliharaan dalam satu acara penuh semangat untuk meraikan keindahan alam sekitar dan kepelbagaian burung di Sabah,” jelasnya.
Selain itu, badan tersebut memaklumkan beberapa tips bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang berpotensi itu dengan memberi tumpuan kepada spesies yang biasa dan mudah dikenali, seperti burung-burung yang sering terlihat di taman, kebun, dan tepi jalan seperti burung merbah, burung kelicap, dan burung raja udang.
Burung-burung ini biasanya berwarna-warni, mudah didengari, dan senang dilihat, menjadikannya pilihan sesuai untuk pemula.
“Dengan mempelajari cara mengenal pasti burung-burung ini melalui pandangan dan bunyi-bunyian, anda dapat membina asas kemahiran yang kukuh.
“Latihan ini membantu mata anda mengenali perbezaan halus pada warna bulu, bentuk badan, dan tingkah laku serta melatih telinga untuk membezakan panggilan dan nyanyian mereka yang unik.
“Lama-kelamaan, asas ini akan memberi anda keyakinan dan kemampuan untuk meneroka hutan-hutan Sabah yang lebih padat, yang mana burung-burungnya lebih sukar ditemui dan pengenalan menjadi lebih mencabar,” ujarnya.
Aplikasi seperti Merlin Bird ID dan BirdNET sangat berguna terutamanya bagi penggiat baharu kerana ia dilengkapi dengan fungsi pengenalan suara yang membolehkan anda mengenal pasti spesies burung berdasarkan panggilan yang tidak dikenali.
Penggunaan aplikasi secara konsisten, serta merakam sendiri suara burung di sekitar dapat membantu meningkatkan lagi kepekaan pendengaran.
Sabah Tourism berkata, untuk memulakan hobi pemerhatian burung ini tidak perlu peralatan yang mahal atau rumit, hanya sekadar sebuah teropong 8×42 yang berkualiti selain itu dipadankan lagi dengan panduan lapangan seperti Field Guide to the Birds of Borneo oleh Quentin Phillipps.
Sementara itu, populariti aktiviti memerhati di negeri Sabah menghimpunkan komuniti pemerhati burung yang aktif dan mesra, sentiasa bersedia berkongsi ilmu serta minat mereka.
“Menyertai kumpulan pemerhati burung tempatan, sama ada melalui WhatsApp, Telegram, Facebook atau kelab secara bersemuka, boleh membantu kemahiran anda.
“Komuniti ini bukan sahaja memberikan sokongan, malah sering berkongsi maklumat terkini mengenai penampakan burung dan menganjurkan aktiviti berkumpulan yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga berinformasi.
“Bagi pemerhati burung yang ingin memulakan pengembaraan pertama di Sabah, bolehlah menempah dengan agensi pelancongan berlesen yang menganjurkan lawatan berpandu khususnya untuk pemerhati burung,” terangnya.
Agensi-agensi ini menyediakan pemandu pelancongan berpengalaman yang memiliki pengetahuan mendalam mengenai lokasi terbaik, tingkah laku burung, serta mampu menyesuaikan aktiviti mengikut tahap kemahiran peserta.
Selain itu, mereka juga boleh menguruskan keperluan logistik seperti pengangkutan, permit, dan penginapan, membolehkan anda memberi tumpuan sepenuhnya kepada aktiviti mencerap burung. -KOSMO! ONLINE