LONDON – Ketua Pasukan Red Bull, Christian Horner sah dipecat sekali gus menamatkan lebih dua dekad perkhidmatannya bersama pasukan Formula Satu (F1) itu.
Pengumuman rasmi dibuat oleh Red Bull sebentar tadi tanpa menjelaskan sebab utama pemecatan Horner yang memimpin pasukan itu semenjak 2005.
Dengan kekosongan tersebut, Red Bull mengesahkan Laurent Mekies, diumumkan sebagai pengganti Horner dan turut dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Red Bull Racing yang baharu.
Pengarah Sukan Red Bull GmbH, Oliver Mintzlaff mengucapkan terima kasih atas kerjasama Horner sepanjang tempoh 20 tahun bersama pasukan itu.
“Terima kasih kepada Christian (Horner) atas kerja luar biasa selama 20 tahun. Komitmen, kepakaran dan idea-idea luar biasa banyak bantu jadikan Red Bull pasukan paling berjaya dalam F1.
“Terima kasih untuk segalanya Christian, anda akan kekal dalam sejarah kami,” kata Mintzlaff dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut laporan media antarabangsa, keputusan mengejut itu dicapai selepas satu mesyuarat tergempar yang melibatkan pemilik bersama dari Thailand, Chalerm Yoovidhya dan Mark Mateschitz dari Austria bersama-sama Mintzlaff.
Pemecatan Horner dipercayai berpunca daripada prestasi pasukan yang merudum sejak pertengahan musim malah kini ketinggalan di belakang Mercedes, Ferrari dan McLaren dalam perebutan kejuaraan pengeluar.
Keputusan Horner ditendang keluar juga berkait rapat dengan prestasi tidak menentu Max Verstappen dan ditambah kekecewaan sewaktu Grand Prix Britain hujung minggu lalu yang sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Sebelum itu, Red Bull turut gagal menyerlah dalam perlumbaan di Austria selepas Verstappen tidak berupaya mengutip sebarang mata selepas terlibat dalam kemalangan dillangar belakang.
Selain itu, Horner juga tidak terlepas daripada kontroversi peribadi, apabila tahun lalu beliau disiasat berhubung tuduhan menghantar mesej tidak wajar kepada seorang pekerja wanita.
Tambah memburukkan keadaan, masa depan Verstappen kini juga menjadi tanda tanya selepas namanya dikaitkan dengan perpindahan ke Mercedes atau Aston Martin, ekoran prestasi hambar di Red Bull. -KOSMO! ONLINE