KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhak mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli parti yang dikenakan tindakan disiplin, selaras dengan Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan tersebut jelas memberi ruang kepada mana-mana individu yang ingin mencabar keputusan tindakan tatatertib terhadap mereka melalui saluran yang sah dalam parti.
“Majlis Kerja Tertinggi boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin parti, sebagaimana termaktub dalam Fasal 20.12,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat ketika tumpuan kini terarah kepada kemungkinan penggantungan keahlian bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dibincangkan semula dalam mesyuarat MKT yang berlangsung di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, malam ini.
Kelmarin, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, fokus utama perbincangan pada malam ini adalah berkenaan isu penggantungan keahlian Hishammuddin.
Katanya, perbincangan mengenai perkara itu bergantung sama ada ia dibangkitkan oleh Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atau sebaliknya.
Beliau berkata, keputusan penggantungan Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan itu sebelum ini dibuat dalam MKT UMNO, maka sebarang keputusan lanjut juga akan dibuat menerusi mesyuarat tertinggi yang sama.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata, MKT boleh mempertimbangkan untuk menarik semula penggantungan Hishammuddin, walaupun Ahli Parlimen Sembrong itu tidak mengemukakan sebarang rayuan.
Dia turut mengingatkan bahawa MKT UMNO tidak akan menggantung atau memecat mana-mana ahli melainkan kesalahan telah dikenal pasti.
Hishammuddin sebelum ini digantung selama enam tahun oleh UMNO pada Januari 2023 diikuti bekas Ketua Penerangannya, Shahril Hamdan.
Manakala, bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar pula dipecat daripada parti itu. – KOSMO! ONLINE