JERLUN – “Ramai cikgu dan ustazah datang beri semangat, mereka minta Qisya sentiasa doakan arwah umi dan walid. Mereka kata Qisya anak solehah, umi dan walid tunggu di sana”
Demikian kata Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, anak sulung kepada pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi yang ditemukan lemas di Sungai Korok, Jitra semalam.
Turut lemas ialah empat anak mereka iaitu Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.
Katanya, meskipun masih bersedih, dia perlu terus kuat untuk meneruskan kehidupan termasuk menyambung persekolahan seperti biasa.
“Saya nak jadi juruterbang pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Saya akan ingat pesanan umi dan walid supaya saya belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Putri Qisya juga mengakui dia sangat merindui ibu bapa dan empat adiknya yang sangat rapat dengannya.
“Saya rapat dengan semua adik kerana bantu umi jaga mereka, memang rindu,” ujarnya sambil mengalirkan air mata.
Tambahnya, dia akan sentiasa ingat dengan pesanan arwah ibu bapa supaya belajar bersungguh-sungguh.
Putri Qisya juga memberitahu bahawa dia bercita-cita untuk menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Terdahulu Kosmo! melaporkan tanda tanya mengenai nasib sepasang suami isteri dan empat anak yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu terjawab selepas jasad mereka dijumpai 48 jam kemudian bersama kereta jenis Proton Iswara di dalam Sungai Korok, Jitra semalam.
Lebih memilukan, ketika dijumpai pada pukul 9 pagi itu, enam beranak berada di tempat duduk belakang dan saling berpelukan. Mereka dipercayai cuba keluar untuk menyelamatkan diri, namun gagal.
Ketika kejadian, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di rumah adik Mohamad Azim, Nur Adliah Syuhada, 26, di Taman Sri Aman, Jitra. – KOSMO! ONLINE