JERLUN – ‘Qisya semalam nampak kuat tapi hari ini nampak sugul, saya minta dia lepaskan perasaan dan menangis di bahu tok umi’
Demikian kata Roswati Zainol, 52, cucu sulungnya itu, Putri Qisya Nur Izzat, 12, semalam dilihat cuba menerima hakikat pemergian ibu bapa dan empat adiknya dengan kelihatan tenang.
“Kakak (Qisya) kuat, tok umi (Roswati) tak kuat nak tengok jenazah. Saya hanya mampu tengok jenazah menantu dan cucu-cucu, jasad anak (Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, saya tak sanggup (tengok).
“Qisya kuat sebab dia boleh cerita kepada saya mengenai keadaan umi dan walidnya kepada saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bohor Karang, di sini hari ini.
Katanya, dia meminta Putri Qisya melepaskan perasaan kerana bimbang nanti dia akan sakit.
“Saya nampak dia tahan perasaan dan tak menangis, dia genggam tangan sendiri. Qisya mula menunjukkan perasaan sebenarnya pada pengebumian ibu bapa dan empat adiknya malam tadi,” ujarnya.
Menurutnya, Putri Qisya seorang cucu yang baik dan sentiasa membantu menjaga empat adiknya.
Ketika ditanya tentang urusan menjaga Putri Qisya selepas ini, menurut Roswati, ia terpulang kepada keputusan cucunya itu.
“Saya tak paksa dan tak suruh, ikut rasa hati dia dengan siapa serasi. Nak tinggal dengan tok umi pun boleh. Cuma dia sudah jadi kekuatan saya sebab umi dia dah tak ada.
“Kalau dia nak tinggal dengan ibu saudara pun tak apa, cuma jangan paksa hati nak jaga hati sesiapa. Ikut mana yang kita nak hadap hari-hari,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan tanda tanya mengenai nasib sepasang suami isteri dan empat anak yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu terjawab selepas jasad mereka dijumpai 48 jam kemudian bersama kereta jenis Proton Iswara di dalam Sungai Korok, Jitra semalam.
Lebih memilukan, ketika dijumpai pada pukul 9 pagi itu, enam beranak berada di tempat duduk belakang dan saling berpelukan. Mereka dipercayai cuba keluar untuk menyelamatkan diri, namun gagal.
Ketika kejadian, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di rumah adik Mohamad Azim, Nur Adliah Syuhada, 26, di Taman Sri Aman, di sini. – KOSMO! ONLINE