PPZ-MAIWP terima RM55.46 juta zakat perniagaan

6 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM55.46 juta daripada 23 syarikat korporat dalam Majlis Zakat Korporat 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kutipan tersebut melibatkan zakat perniagaan bagi haul tahun 2023 dan 2024 yang diserahkan oleh syarikat-syarikat korporat berdaftar di Wilayah Persekutuan kepada PPZ-MAIWP.

Penyerahan zakat perniagaan itu disampaikan oleh wakil-wakil syarikat kepada Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin, sambil disaksikan Mohd Na’im serta Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Mohd Na’im berkata, setakat Januari hingga Jun 2025, kutipan zakat perniagaan telah mencecah RM76.3 juta, meningkat 1.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Andai lebih banyak syarikat menjadikan zakat sebagai budaya korporat yang berterusan, saya yakin kita mampu membuka lebih banyak jalan keluar daripada kemiskinan, bukan hanya dengan memberi, tetapi dengan membina,” katanya pada Majlis Zakat Korporat 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), di sini hari ini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan, dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PPZ-MAIWP, Azrin Abdul Manan.

Sementara itu, Mohd. Na’im turut mengajak lebih banyak syarikat korporat untuk terlibat dalam projek wakaf khas dengan membuat sumbangan wakaf tunai kepada PPZ-MAIWP.

Katanya, sebanyak 35 projek wakaf khas sedang giat dibangunkan dengan jumlah keperluan dana sebanyak RM387 juta, merangkumi pembangunan institusi pendidikan, kesihatan, dan kebajikan masyarakat Islam.

“Kita akan terus meluaskan jaringan dakwah zakat, menambahbaik penyampaian maklumat dan memperkemas agihan agar lebih telus, cepat dan bersasar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |