PETALING JAYA – Seorang pemilik inap desa meluahkan rasa kecewa apabila kediaman miliknya bukan sahaja ditinggalkan dalam keadaan berselerak, malah televisyen dan beberapa barangan di dalam rumah turut rosak selepas disewa pelanggan selama empat hari.
Menurut hantaran yang dimuat naik oleh pengendali inap desa, Nurul Syahirah di Facebook, penyewa terbabit berjanji akan membayar ganti rugi atas kerosakan tersebut, namun sehingga kini masih gagal menunaikan janji.
“Assalammualaikum warga homestay (inap desa) Minta berhati-hati dengan penyewa ini dah pecahkan TV di homestay kami janji nak bayar tapi sampai ke hari ini (semalam) tak bayar,” katanya.
Pemilik inap desa berkenaan turut mendedahkan gambar kad pengenalan pelanggan terbabit dan memberi amaran tidak akan memadamkan maklumat tersebut selagi bayaran ganti rugi tidak dijelaskan.
“Homestay agak teruk ditinggalkan. Selagi pemilik kad pengenalan ini tak bayar selagi itu kami tak padam (hantaran),” tegasnya.
Kata wanita itu, wang pendahuluan yang dikenakan ke atas penyewa tidak mampu untuk menampung kos kerosakan dialaminya.
“Ada deposit (wang pendahuluan), deposit tak bole cover (tampung kos kerosakan),” jelasnya.
Rata-rata warganet menyatakan simpati kepada pemilik homestay dan menyarankan agar tindakan undang-undang diambil terhadap individu terbabit bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
“Buat laporan polis, tuntut ganti rugi kepasa penyewa terbabit,” cadang Ayunie.
Sementara itu, beberapa pengusaha inap desa turut berkongsi pengalaman sama dan menyarankan agar pemilik homestay lain lebih berhati-hati dalam memilih penyewa selain membuat pemeriksaan sebelum dan selepas tempoh penginapan.
“Sebelum penyewa keluar, pemilik homestay kena semak keadaan rumah, harta benda yang ada sebelum benarkan penyewa tinggalkan rumah. Mana pemilik yang jauh, kena la upah sesiap untuk periksa. Risau bila penyewa dah tinggalkan rumah, mereka hilang dan segala kerosakan berlaku kita yang rugi dan tak dapat kesan mereka,” kata Kateee.
“Dulu deposit saya kenakan RM100, sekarang terpaksa naik RM200 sebab nak elak kes sebegini. Tapi kalau TV rosak macam itu, RM200 memang tak cukup nak tampung,” kata Asyikin. – KOSMO! ONLINE