Penyamun dicekup dalam tempoh 3 jam

9 hours ago 2

KLANG – Seorang penyamun berjaya dicekup dalam tempoh tiga jam selepas melarikan wang tunai RM3,000 di sebuah kedai serbaneka di Bandar Botanik di sini, baru-baru ini.

Suspek lelaki tempatan berusia 37 tahun itu dicekup kira-kira pukul 8.25 malam di Taman Andalas pada 17 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki kira-kira pukul 5.35 petang dengan menyatakan dirinya telah disamun di tempat kerjanya di sebuah kedai 24 jam.

Katanya, siasatan mendapati suspek melakukan samun dengan membawa sebatang pemutar skru lalu menghentak meja kaunter.

“Suspek juga telah mengugut dan memaksa mangsa menyerahkan semua wang di mesin daftar tunai.

“Mangsa yang dalam ketakutan telah bertindak menyerahkan semua wang tunai dianggarkan RM3,000 kepada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Barangan termasuk baju bertulisan ‘Army’ yang digunakan suspek semasa kejadian samun di kedai serbaneka Bandar Botanik, Klang.

Beliau menambah, hasil siasatan dan risikan kemudiannya membawa penahanan suspek pada hari sama.

Turut dirampas adalah peralatan, motosikal dan pakaian digunakan melakukan samun itu.

Kata Ramli, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau dan tiga rekod berkaitan dadah.

“Siasatan lanjut mendapati suspek terlibat dalam empat kes lain dengan modus operandi hampir sama di kawasan pentadbiran daerah Klang Selatan.

“Suspek kini direman lima hari sehingga Khamis depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |