Penunggang motosikal BMW maut digilis treler

12 hours ago 5

SEREMBAN – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan ngeri selepas digilis treler di Kilometer 254.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis BMW meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah trak pikap jenis Ford Ranger yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 65 tahun, bersama penumpang wanita berusia 54 tahun, dipercayai memandu di lorong kecemasan dari arah Rembau menuju ke Shah Alam.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu Ford Ranger telah membrek secara mengejut di lorong kecemasan, menyebabkan sebuah motosikal jenis BMW yang berada di belakang cuba mengelak namun terlanggar bahagian cermin lampu belakang sebelah kanan kenderaan tersebut.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal terbabit tercampak ke lorong sebelah kanan (lorong kiri) dan digilis oleh sebuah treler yang datang dari arah sama,” katanya ketika dihubungi di sini.

Tambah beliau, sejurus selepas insiden itu, datang sebuah lagi motosikal dari arah belakang gagal mengelak dan merempuh bahagian belakang Ford Ranger yang masih berada di lorong kecemasan.

Katanya, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai lelaki berusia 51 tahun.

“Mayatnya telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

” Pemandu dan penumpang Ford Ranger tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala status penunggang motosikal kedua masih dalam siasatan,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |