Penjawat awam pertahan konsep, tepis kritikan Kota Madani

7 hours ago 5

PUTRAJAYA- Penjawat awam diminta mempertahankan konsep Kota Madani yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini bagi menyediakan kemudahan 10,000 unit kuarters kepada kumpulan itu berikutan ada pihak tidak senang dengan pembangunan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kumpulan penjawat awam perlu memahami fakta berhubung pembangunan Kota Madani seterusnya mempertahankan konsep tersebut.

“Entah dia (pihak tidak setuju) mewakili kontraktor lain atupun yang lain-lain. Tapi, saya tidak faham mengapa dia tidak boleh dukung lebih-lebih lagi apabila Perbadanan Putrajaya dan Putrajaya Holdings boleh urus sendiri tanpa beban kerajaan secara langsung.

“Jadi, saya harap rakan-rakan kalau mahu kita beri penjelasan, biar mereka datang jelaskan.

“Kalau perlu jabatan-jabatan (beri penjelasan) kerana ramai juga lebih muda yang tunggu peluang menyewa atau menduduki rumah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini tadi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelancaran Kota Madani yang akan memanfaatkan penjawat awam turut menjadi bahan politik pihak tidak bertanggungjawab.

“Tapi, cuma untuk sebut di sini, kita tahu bahawa yang tunggu (kuarters) juga beribu, yang rosak juga beribu unit.

“Tapi, dalam beberapa tahun kebelakangan ini 98 peratus yang rosak sudah diperbaiki dan diduduki.

“Adakah ia cukup? Tidak cukup kalau semua diperbaiki, masih ribuan yang menunggu. Untuk keperluan tahun mendatang puluhan ribu, maka sebab itu kita usul pembangunan Kota Madani,” katanya.

Menurut beliau, pembangunan kota itu bukan sahaja akan menyiapkan sebanyak 3,000 unit perumahan penjawat awam pada fasa pertama, namun melengkapkan 10,000 pada fasa kedua untuk memenuhi keperluan kumpulan itu.

“Ia bukan sahaja rumah biasa, tetapi kita beri satu keselesaan yang luar biasa, sekolah, masjid dekat, gym dan tempat permainan hijau semua diambil kira faktor itu.

“(Pembangunan itu) satu kota yang moden dan ada konsep Madani, semua dalam 10 ke 15 minit perjalanan, jadi kota yang ada konsep baharu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |