JOHOR BAHRU – Seorang ibu mengetahui bahawa dua anak perempuannya menjadi mangsa cabul seorang pemandu van sekolah setelah kanak-kanak itu mengadu enggan menaiki kenderaan itu lagi untuk ke sekolah di Permas Jaya, di sini.
Kanak-kanak itu dipercayai beberapa kali menjadi sasaran pemandu van sekolah tersebut yang melakukan perbuatan menyentuh kemaluan mangsa yang berusia lapan dan sembilan tahun ketika menghantarnya ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat ibu mangsa semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada pukul 11.15 pagi.
Beliau berkata, susulan laporan itu, pihaknya telah membuat tangkapan terhadap seorang pemandu van sekolah lelaki berusia 42 tahun di rumahnya di kawasan Plentong, pada pukul 9.50 malam tadi.
“Hasil siasatan mendapati suspek melakukan amang seksual terhadap dua beradik itu di dalam van sekolah di tepi Jalan Permas 1/1, Khamis lalu.
“Suspek yang sudah berkahwin itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut beberapa kali terhadap mangsa dengan menyentuh bahagian kemaluan kanak-kanak tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Raub berkata, siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan urin juga adalah negatif, manakala pemeriksaan perubatan yang dibuat terhadap mangsa mengesahkan tiada kecederaan fizikal.
Pada pagi tadi, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret untuk dipohon reman bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah, Muhammad Fitri Mokhtar mengeluarkan perintah reman terhadap tertuduh selama seminggu bermula hari ini hingga Isnin ini. – KOSMO! ONLINE