Pelajar SMK Taman Johor Jaya 1 cipta sejarah, menang emas dan gangsa di London

5 hours ago 3

JOHOR BAHRU – Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Johor Jaya 1 di sini mencipta sejarah tersendiri apabila dua projek penyelidikan berjaya meraih pingat emas dan gangsa dalam pertandingan International Greenwich Olympiad (IGO) 2025 yang berlangsung di Queen Mary University of London, United Kingdom baru-baru ini.

Pelajar Tingkatan Lima, Chong Min Jia, 17, memenangi pingat emas melalui projek bertemakan sains alam sekitar, manakala pasangan pelajar, Muhammad Iman Mohamad Isa, 19, dan Phoon Ka Tung, 16, meraih pingat gangsa menerusi projek Indoor Garden yang berasaskan inovasi dan kelestarian alam.

Pertandingan peringkat antarabangsa itu menyaksikan lebih 310 penyertaan daripada 53 buah negara yang bersaing dalam pelbagai kategori inovasi, penyelidikan dan penyelesaian masalah.

“Saya amat terkejut apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang pingat emas. Ia satu penghargaan besar bukan sahaja buat saya, malah buat Malaysia dan sekolah saya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai sebaik tiba dari London, semalam.

Menurutnya, kejayaan itu tidak akan tercapai tanpa bantuan dan bimbingan dua gurunya, Cikgu Gan Lui Nam dan Cikgu Siti Norsyuhada Mat Husin, serta mentor projek, Chin Wei Jian, yang banyak membantu menyediakan kertas kerja penyelidikan.

Sementara itu, Muhammad Iman yang merupakan pelajar cemerlang SPM 2024 berkata, penyertaan mereka dalam pertandingan tersebut memerlukan persiapan rapi sejak awal tahun lagi.

“Setiap pembentangan yang dibuat di hadapan juri perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan termasuk ketepatan fakta, kreativiti penyampaian dan kefasihan dalam berkomunikasi,” ujarnya.

Phoon pula berkata, beliau dan Muhammad Iman saling melengkapi antara satu sama lain dalam memastikan persembahan mereka mampu menarik perhatian juri serta menepati tema pertandingan.

IGO 2025 yang dianjurkan oleh North London Grammar School bukan sekadar pertandingan, malah turut menawarkan pelbagai aktiviti seperti seminar, pembentangan penyelidikan, pertukaran budaya, dan lawatan akademik ke lokasi berprestij di London.

Penyertaan ini disifatkan selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memartabatkan program pengantarabangsaan, memperkukuh daya saing global dan membina generasi pelajar yang berfikiran kritis, kreatif dan berkemahiran tinggi.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |