PDRM tahan 36 warga Bangladesh terlibat Gerakan Militan Radikal

6 hours ago 3

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 36 orang warga Bangladesh yang dikenal pasti terlibat secara langsung dalam Gerakan Militan Radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi keselamatan terancang itu bermula pada 24 April lalu yang mana dilaksanakan dalam tiga fasa tangkapan sekitar Selangor dan Johor.

“Dalam operasi tersebut, lima daripada mereka dikenal pasti terlibat di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan dan telah didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam dan Johor Bahru.

“15 individu lagi telah dikenakan perintah pengusiran, manakala 16 individu sedang disiasat lanjut terkait penglibatan mereka dalam gerakan militan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, hasil risikan dan tindakan bersepadu Pasukan Cawangan Khas PDRMmendapati kumpulan iti membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi Islamic State (IS) ke dalam negara.

“Kumpulan itu turut mewujudkan sel pengrekrutan dalam kalangan komuniti mereka bagi tujuan mengindoktrinasikan fahaman radikal selain mengumpul dana untuk aktiviti keganasan dan menjatuhkan kerajaan sah di negara asal mereka.

“Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat berlindung, apatah lagi medan anasir subversif untuk mana-mana gerakan ekstremis asing. Tindakan yang diambil ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani amat serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana elemen yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan ini turut membuktikan kecekapan dan profesionalisme pasukan keselamatan negara khususnya PDRM dalam memelihara kedaulatan, keharmonian, dan ketenteraman awam.

“Sebarang cubaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi militan atau pusat transit gerakan ekstremis akan ditangani dengan tindakan tegas, pantas dan berkesan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |