Nestle meterai kerjasama strategik dengan UiTM, APU, MUST

6 hours ago 5

PETALING JAYA – Nestle Malaysia  telah memeterai kerjasama strategik dengan
Universiti Teknologi MARA (UiTM), Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) dan Malaysia University of Science and Technology (MUST).

Kerjasama ini akan memberi peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan amali tersusun dalam bidang pembuatan dan rantaian bekalan di Nestlé Malaysia.

Usaha ini akan dapat meningkatkan kemahiran digital dan pengalaman bekerja, yang seterusnya melengkapkan mereka untuk berkembang maju dalam dunia kerjaya yang semakin dinamik dan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada program “Nestlé Needs Youth” dan juga menyokong keutamaan untuk membangunkan bakat negara yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas, inisiatif Penambahbaikan TVET, Strategi Kebolehpasaran Graduan 2021–2025 dan Rangka Kerja Ekonomi Madani.

Menurut beliau, selaras dengan usaha Malaysia membina ekonomi yang terangkum dan maju dari segi digital, bakat muda perlu dilengkapi dengan keupayaan teknikal dan kemahiran digital untuk menempa kejayaan.

“Sebagai sebahagian daripada program berterusan “Nestlé Needs Youth”, kami sukacita untuk berganding bahu dengan institusi-institusi pengajian
tinggi Malaysia yang terkemuka untuk memperkasakan graduan baharu atau bakal graduan dengan kelengkapan, pengalaman dan ketetapan minda yang sewajarnya untuk meningkat naik dalam dunia kerjaya profesional,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Selain itu, Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dr. Mohamad Norjayadi Tamam menjelaskan,  kerjasama strategik antara Nestlé dan institusi akademik ini merupakan contoh terbaik bagaimana jalinan antara pendidikan dan industri dapat diperkukuhkan.

Jelasnya, melalui penyediaan pengalaman serta pendedahan dunia sebenar kepada para pelajar, kita dapat melahirkan generasi yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Di MPC, kami percaya bahawa produktiviti bermula dengan modal insan  dan
inisiatif bersama seperti ini memainkan peranan penting dalam membina bakat, mempercepatkan proses pembelajaran, serta memperkukuh daya saing ekonomi negara secara berterusan,” ujarnya.

Tambah beliau, pelajar boleh memanfaatkan peluang menyertai latihan amali dalam fungsi-fungsi perniagaan Nestlé, termasuk rantaian bekalan, kejuruteraan, kelestarian, pendigitalan dan jaminan kualiti.

Penempatan kerja ini akan memberikan pendedahan dunia sebenar,
melengkapkan pelajar dengan pengalaman praktikal dan kefahaman lebih mendalam tentang jangkaan industri.

Kumpulan awal 10 pelajar telah dikenal pasti, dan sehingga 100
pelajar dijangka mengambil bahagian dalam fasa pertama program sepanjang tempoh enam bulan akan datang.

Program ini memperkenalkan pelajar kepada alat digital dan teknologi canggih, serta juga usaha menggabungkan kelestarian di dalam proses operasi.

Matlamatnya adalah untuk memupuk pemikiran kritikal, keupayaan menyelesaikan masalah dan kemahiran digital, ciri-ciri penting bagi mencapai kejayaan dalam dunia kerjaya moden. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |