SEBUT sahaja sepotong nama, P. Ramlee, terbayang susuk genius seni lengkap yang tiada galang gantinya.
Beliau bukan sekadar seniman, malah nadi seni tanah air, penggerak budaya dan pencetus tamadun hiburan Melayu yang kekal harum hingga hari ini.
Keindahan karya agung beliau bakal dihidupkan semula menerusi sebuah persembahan epik, Konsert Legasi P. Ramlee yang bakal berlangsung pada 20 September depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Konsert eksklusif anjuran Tanahair Films Sdn. Bhd. itu merupakan kesinambungan kepada Projek Perdana P. Ramlee, diterajui dua figura berpengaruh industri seni iaitu Datuk Khairul Anwar Salleh dan Adlin Aman Ramlie.
Selaku Pegawai Eksekutif Tanahair Films, Khairul Anwar berkata, konsert tersebut bukan sekadar peringatan atau penghormatan kosong sebaliknya satu manifestasi cinta terhadap seni yang pernah meletakkan bangsa Melayu di puncak keagungan budaya.
“Apabila kita berbicara tentang warisan, nama Tan Sri P. Ramlee ialah simbol yang menyatukan kita semua. Beliau seorang seniman, pemikir, pemimpin budaya dan lambang perpaduan nusantara.
Matlamat konsert adalah memperkenalkan P. Ramlee kepada generasi baharu sebagai tokoh yang bukan hanya dikenang dalam lipatan sejarah atau dipamerkan sebagai ikon muzium, tetapi diangkat selaku pencetus legasi yang mendefinisikan identiti warisan seni dan budaya Malaysia,” katanya penuh bangga.
Tambahnya lagi pihaknya cukup teruja untuk membawa inisiatif ini ke pentas lebih besar selepas kejayaan Legasi Podcast yang dilancarkan tahun lalu.

Malah, turut mendapat sokongan padu daripada Arkib Negara Malaysia, Kementerian Komunikasi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Perpaduan Negara.
“Konsert ini lebih daripada sekadar persembahan hiburan, ini adalah jambatan yang menghubungkan generasi, menyatukan nilai seni yang tidak lapuk dek zaman, serta melakar penghormatan yang tulus kepada legasi seorang tokoh agung dalam sejarah seni kita.
“P. Ramlee tidak mungkin diganti atau ditiru. Keunikan bakat dan sumbangannya terlalu agung untuk dibiarkan terpendam. Kita perlu terus hidupkan legasinya agar seni bangsa ini terus bernyawa,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Adlin Aman Ramlie selaku pengarah artistik konsert tersebut menjanjikan pengalaman magis yang bakal membangkitkan emosi, menggamit kenangan dan menyuntik semangat baharu kepada warisan seni negara.
“Kita akan dihidangkan dengan sebuah malam yang membawa penonton kembali ke era emas muzik Melayu, namun dengan interpretasi baharu yang diperkaya sentuhan empat figura maestro muzik tersohor.
“Konsert ini bakal membangkitkan semula roh seni Tan Sri P. Ramlee yang akan meresap bukan hanya dalam melodi, tetapi juga dalam setiap babak yang menyentuh emosi, kekaguman dan mengimbau kenangan,” jelasnya.
Dijadualkan berlangsung dalam format persembahan teatrikal, dramatik dan sinematik, konsert berkenaan membariskan empat figura maestro muzik negara iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen.
Mereka bakal mengemudi lebih 60 pemuzik orkestra yang bakal menghidupkan lebih 30 karya ikonik seniman agung itu.
Barisan penyanyi unggul tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Zainal Abidin, Ella, MimiFly, Liza Hanim dan
Nadeera pula bakal menyalakan pentas dengan vokal dan gaya persembahan tersendiri sebagai penghargaan kepada Allahyarham.
Turut hadir, tiga figura yang cukup sinonim dengan persona P. Ramlee iaitu P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee yang akan membawa penonton menyusuri nostalgia zaman kegemilangan seniman agung itu.
Tiket kini boleh diperoleh menerusi www.ticket2u.com.my. Ikuti perkembangan menerusi media sosial rasmi @konsertlegasipramlee, @TanahAirFilms dan @legasipodcast di Facebook, Instagram serta TikTok.
Paling penting, malam itu bukan sekadar konsert, malah saksi cinta rakyat terhadap seniman yang tidak pernah mati iaitu P. Ramlee, legenda agung seni tanah air. – KOSMO! ONLINE