PETALING JAYA – Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) mencatat sejarah baharu apabila berjaya meletakkan Malaysia di pentas global sebagai hab utama pertahanan dan teknologi, mengatasi rekod penganjuran edisi-edisi terdahulu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu catatan di Facebooknya menyifatkan LIMA’25 sebagai penanda aras baharu yang membuktikan keupayaan serta kesungguhan Malaysia dalam mendepani cabaran keselamatan dan kemajuan teknologi masa depan.
“Salut saya kepada pasukan Kementerian Pertahanan dan semua agensi yang terlibat atas kejayaan penganjuran edisi kali ini, yang bukan sahaja mengatasi pencapaian edisi-edisi terdahulu, malah menjadi penanda aras baharu bagi LIMA sebagai platform pertahanan dan teknologi global,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia sebagai negara maritim yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kestabilan rantau ini.
“Dari Lautan Hindi, merentasi Selat Melaka, hingga ke Laut China Selatan. Rantau ini kekal sebagai laluan perdagangan strategik dan mesti terus dipelihara daripada sebarang ancaman.
“Penyertaan aktif negara-negara jiran dan rakan strategik seperti China, India, Korea Selatan, negara-negara ASEAN, Amerika Syarikat serta Eropah pada LIMA’25 adalah bukti sokongan dan keyakinan global terhadap peranan Malaysia dalam menjamin keselamatan serantau dan memupuk kerjasama pertahanan yang bermakna,” katanya.
Kata Anwar, dengan tema ‘Innovate Today, Thrive Tomorrow’, LIMA’25 menonjolkan kepentingan inovasi teknologi dalam membina masa depan yang lebih selamat dan berdaya tahan.
Anwar juga menekankan peranan penting teknologi pertahanan pintar, kecerdasan buatan (AI), serta industri aeroangkasa dalam membentuk landskap keselamatan abad ke-21.
“Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama pertahanan serantau dan antarabangsa, serta kekal komited mendukung keamanan global.
“Ini termasuk penyertaan aktif dalam misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memperluas latihan ketenteraan bersama, dan menyokong agenda global berkaitan wanita, kesejahteraan dan keselamatan.
“LIMA’25 bukan sahaja mencerminkan kekuatan pertahanan negara, tetapi juga iltizam kita untuk terus memainkan peranan konstruktif dalam menjamin keamanan dan kemakmuran serantau serta dunia sejagat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE