‘Konsert sudah habis, boleh makan durian’

12 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Akim & The Majistret (ATM), Akim Ahmad terpaksa menahan nafsu menjamah durian demi menjaga suaranya sebelum konsert ATM Rampas yang berlangsung malam tadi di Mega Star Arena Kuala Lumpur.

Menurut Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 34, dia perlu menjaga suara serta kesihatannya agar dapat membuat persembahan terbaik demi peminat.

“Sejak tiba musim durian saya tengok ramai makan durian. Jadi saya pun teringin nak makan.

“Namun demi menjaga suara, saya terpaksa lupakan dulu durian buat seketika sebab takut akan beri kesan kepada suara saya. Risau kalau makan badan jadi panas.

“Tapi bila dah habis konsert ini boleh lah kita makan durian,” katanya ketika ditemui selepas tamat konsert.

Malam tadi, Akim berjaya mempamerkan persembahan cemerlang di hadapan 5,000 peminat yang hadir.

Kata Akim, melihat sambutan yang diberikan oleh ribuan peminat, dia hampir menangis pada permulaan konsert.

“Saya hampir menangis sebab sangat terharu dan terkejut melihat ramai peminat hadir. Konsert kali ini lebih besar dan berbeza dengan konsert sebelum ini yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.

“Biarpun ada dua lagi konsert yang berlangsung pada waktu sama, peminat masih memilih untuk berada di sini dengan kami.

“Mega Star Arena Kuala Lumpur ini lokasi yang sangat ikonik kerana terletak di lokasi yang menjadi nadi bandar Kuala Lumpur iaitu Bukit Bintang. Dapat buat persembahan di sini merupakan satu sejarah buat kami. Memang kami nak sangat buat konsert di sini,” kongsinya.

ATM yang ditubuhkan 11 tahun lalu turut dianggotai Zimi, Freddy, Safwan, Gjie, Afiez dan Fairuz. Kesemua mereka merupakan pemuzik daripada pelbagai kugiran yang bergabung menjadi ATM yang pada mulanya ditubuhkan sebagai sebuah projek khas.

Antara lagu popular ATM yang didendangkan pada konsert itu adalah Rampas, Mewangi, Potret, Obses dan Saksama.

Akim turut mendedangkan lagu-lagu ciptaannya kepada penyanyi lain seperti lagu Cinta (Marsha Milan), Bunga & Warkah (Ara Johari) dan Sengaja (Amir Masdi). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |