‘Komposer ada hak tak bagi main lagu, bawalah berbincang….’

5 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Maestro muzik Datuk M. Nasir menasihatkan agar kemelut hak cipta lagu antara Man Senoi, Mama Rap bersama kumpulan 4U2C rentetan penganjuran konsert WE 4U2C Live In Concert dapat diselesaikan dengan cara baik.

Menurut M. Nasir atau nama penuhnya Mohamad Nasir Mohamed Sam, 67, pihak penganjur tidak mempunyai kuasa terhadap lagu-lagu yang digunakan dalam konsert kerana hak tersebut terletak di tangan pencipta dan pemegang hak cipta.

“Buat berbincang-bincang. Masing-masing ada hak sebab pencipta lagu juga ada hak pada lagu-lagunya dan yang merakamkan pun ada haknya.

“Jadi kalau bawa berbincang, semua itu senang saja. Jadi biar mereka berbincang dulu.

“Penganjur hanya menganjurkan konsert, dia tiada kuasa ke atas lagu-lagu itu,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang akhbar konsert M. N46IR Cipta 3 di Hard Rock Cafe, hari ini.

Tambahnya lagi, pencipta lagu mempunyai kuasa yang besar dalam menentukan penggunaan karya mereka termasuk memberi kebenaran atau sebaliknya.

“Pencipta lagu mempunyai hak yang kuat pada lagu-lagu, penyanyi kalau nak gunakan lagu itu, dia kena berunding dengan pencipta lagu itu.

“Atau secara kebiasaannya dia tak perlu, tapi bayar melalui Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP). Yang penting dia bayar.

“Tapi kalau pencipta lagu tak bagi dia main, dia pun ada hak buat begitu,” ujarnya.

Sebelum ini, Man Senoi dan Mama Rap mendakwa tidak dihubungi mana-mana pihak berkaitan penganjuran konsert 4U2C, WE 4U2C Live in Concert yang dijadual berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya 15 September depan.

Man Senoi dan Mama Rap turut berkongsi mengenai permulaan 4U2C yang dikumpulkan oleh mereka berdua dan proses perjuangan turut melibatkan mereka demi memastikan kumpulan itu dapat mencipta nama dalam industri seni tanah air.

Man Senoi turut dilapor mempersoalkan bagaimana kumpulan berkenaan hendak mengadakan konsert anjuran Juss Event jika 25 lagu dinyanyikan adalah hak milik syarikat mereka, Zman Production.

Dalam perkembangan lain, M. Nasir bakal mengadakan konsert M. N46IR Cipta 3 di Axiata Arena pada 27 September depan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |