Kompleks Pendaratan Ikan Sekinchan jadi model hab perikanan

8 hours ago 6

SABAK BERNAM – Model kompleks pendaratan bersepadu perikanan di Sekinchan khususnya akan menjadi pemicu kepada sektor utama tersebut bukan sahaja di Selangor malah negara ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia seterusnya menjadi kesinambungan kepada kejayaan model pertanian Sekinchan yang menjadi rujukan di Kedah dan Kelantan.

“Kita tengoklah usaha, inisiatif kita. Diharapkan kalau benda (Kompleks Pendaratan Bersepadu Hasil Laut Sekinchan) ini menjadi, ia akan menjadi pemecah formula bagaimana membangunkan kawasan perikanan.

“Ia tidak hanya tersekat pada satu-satu tahap. Apa yang berlaku sekarang ini dia telah berkembang daripada cara tradisional kepada komersial tetapi telah tersekat (pembangunan ekosistem perikanan),” katanya pada sidang akhbar selepas meluncurkan pembangunan fasa pertama Kompleks Pendaratan Hasil Laut Sekinchan di sini, hari ini.

Fasa pertama kompleks berkeluasan 33.9 hektar dengan jangkaan tempoh pembangunan selama lima tahun antara lain akan dilengkapi dengan dewan lelongan ikan dan pasar ikan komersial.

Selain itu, dok suai arus, hab logistik sokongan untuk pengedaran makanan laut dan perkhidmatan maritim serta penambahbaikan pesisir termasuk pantai awam baharu tersebut merupakan komponen utama dalam Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA).

Amirudin menambah, kompleks ini akan menambah nilai ekosistem perikanan termasuk proses pengawetan bertahan sehingga dua atau tiga tahun.

Jelasnya, pembangunan fasa pertama tersebut melibatkan pelaburan awal sebanyak RM500 Juta yang bakal bermula menjelang akhir tahun 2026 itu.

“Ini juga dijangka dapat memberi nilai tambah kepada dasar keterjaminan makanan negeri itu seperti Gudang Makanan Selangor.

“Projek berkenaan juga diharapkan dapat meningkatkan hasil pertanian negeri sebanyak lima peratus sekali gus meletakkan kawasan pantai barat Selangor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |