King Sing beri amaran keras kepada pengusaha pelancongan

5 hours ago 4

PETALING JAYA – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing mengeluarkan amaran keras kepada semua pengusaha pelancongan supaya memastikan keselamatan pelancong di negara ini.

Menurutnya, beliau amat marah serta kecewa dengan kejadian tragis bot terbalik di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu yang mengakibatkan tiga maut, manakala sembilan cedera dan telah mengarahkan MOTAC menjalankan siasatan menyeluruh.

Kata beliau, berdasarkan penemuan awal, kedua-dua agensi pelancongan dan pengendali bot berkenaan melanggar beberapa undang-undang dan peraturan termasuk beroperasi dengan lesen tamat tempoh.

“Gagal memastikan penumpang memakai jaket keselamatan dan paling membimbangkan, pemandu bot didapati positif dadah. Individu ini bukan sahaja positif dadah, tetapi juga mempunyai kesalahan berkaitan dadah sebelum ini.

“Bagaimana agensi pelancongan sanggup mengupah individu sedemikian membawa penumpang dan ini jelas satu kecuaian merisikokan keselamatan nyawa manusia.

“Saya mengeluarkan amaran keras kepada semua pengusaha pelancongan dalam pada mencari keuntungan, keselamatan pelancong tidak boleh dikompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan bot membawa 15 penumpang berusia antara tiga hingga 40 tahun terbalik di perairan Pulau Perhentian pada 28 Jun lalu menyebabkan tiga maut, manakala seorang dilaporkan kritikal.

King Sing berkata, telah banyak insiden berlaku di Malaysia yang menjejaskan sektor pelancongan dan merosakkan reputasi negara ini.

Kata beliau, dalam beberapa kes telah mendorong kerajaan asing mengeluarkan amaran perjalanan terhadap destinasi tertentu di Malaysia.

“Jika dibiarkan, ini akan menjejaskan industri pelancongan kita dalam jangka masa panjang,” kata beliau. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |