SHAH ALAM – Penyedia logistik terkemuka, DHL bersedia menghadapi kenaikan tarif import 25 peratus yang akan dikenakan terhadap Malaysia bermula 1 Ogos depan.
Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata, bersandarkan statistik Global Connectedness Report 2024, hanya 21 peratus jumlah perniagaan dunia adalah merentasi sempadan, ini menunjukkan hanya 2.6 peratus daripada jumlah itu melibatkan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.
“Oleh itu, kesan terhadap tarif itu tidak begitu besar seperti yang kami fikirkan dan tidak terjejas setakat ini.
“Kami telah bersedia dan mempunyai pengalaman mendepaninya sejak dahulu seperti ketika pandemik Covid-19 dan perang Rusia-Ukraine,” katanya ketika ditemui pada Sesi Taklimat Strategi DHL 2030 di sini.
Julian menjelaskan, isu tarif itu juga dianggap masih terlalu awal dan sedang dalam proses perbincangan antara kerajaan (G2G).
“Sektor perniagaan di Malaysia kini memerlukan kepelbagaian dan perluasan di pasaran baharu.
“Sebagai contoh, Asia Tenggara merupakan pasaran besar dengan jumlah penduduk seramai 680 juta orang. Jadi, fokus eksport perlu ditumpukan di rantau ini berbanding negara luar lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, DHL menerusi pelan lima tahun komited memacu pertumbuhan mampan dengan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi di negara ini.
“Kita bersedia memanfaatkan kedudukan sebagai hab perdagangan utama dan destinasi baharu bagi perkembangan rantaian bekalan.
“Menyedari kelebihan daya saing dan potensi perniagaan negara, DHL merancang terus mengembangkan tawaran produk dan keupayaan operasi dengan memberi tumpuan kepada beberapa pemacu utama,” katanya. -KOSMO! ONLINE