ALOR SETAR – Jabatan Kerja Raya (JKR) mula memasang tiang amaran sementara di lokasi kemalangan yang meragut nyawa enam beranak, Sabtu lepas di Sungai Korok berdekatan Kampung Kemboja, Jitra hari ini.
Pemasangan tiang amaran itu sebagai langkah awal untuk menambah baik aspek keselamatan jalan raya di situ.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mohammad Yusof Zakaria berkata, pemasangan dilakukan pada jarak kira-kira 50 meter di lokasi kejadian khususnya di tepi sungai tersebut.
Katanya, langkah itu adalah antara cadangan awal dikemukakan oleh JKR sebelum pembinaan pagar penghadang dan pemasangan kemudahan keselamatan lain yang memerlukan kelulusan peruntukan.
“Semalam saya turun sendiri ke lokasi kejadian untuk meneliti secara langsung cadangan penambahbaikan yang diperlukan demi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
“Hasil pemerhatian mendapati ada keperluan untuk menambah baik infrastruktur dan aspek keselamatan di kawasan tersebut dengan segera,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, langkah menambah baik infrastruktur di kawasan tersebut akan dilakukan dari semasa ke semasa seperti dicadangkan oleh agensi berkenaan.
“Antara cadangan keselamatan lain yang dikemukakan termasuk, pembinaan pagar penghadang, pemasangan lampu jalan, paku jalan pemantul cahaya, tiang penunjuk arah, papan tanda dan lampu amaran,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut melahirkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan komitmen kerajaan untuk menambah baik jalan raya di kawasan tersebut.
Kelmarin, negara dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila enam sekeluarga maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas sebelum terhumban ke dalam Sungai Korok di Jitra. – KOSMO! ONLINE