Jawatankuasa khas ditubuh bagi cadangan pembangunan, jajaran paip gas

8 hours ago 5

SHAH ALAM – Sebuah Jawatankuasa khas akan ditubuhkan dibawa Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) susulan laporan siasatan letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jawatankuasa yang turut melibatkan pakar termasuk Petronas itu akan menyampaikan cadangan pembaharuan undang-undang dan prosedur kelulusan kebenaran merancang.

Selain itu, katanya, cadangan turut melibatkan dasar pembangunan mengambil kira risiko perubahan iklim serta semua kawasan jajaran Right-of-Way talian paip gas.

“Kerajaan negeri berpendirian bahawa laporan siasatan ini akan menjadi asas kepada analisa risiko di setiap kawasan yang seumpamanya.

“Ini amat penting bagi mengukuhkan kawasan Putra Heights serta kawasan seumpamanya supaya insiden ngeri sebegini tidak berulang lagi,” katanya dalam kenyataan susulan laporan siasatan paip gas sebentar tadi.

Menurut Amirudin, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tiada sebarang tindakan sabotaj atau kecuaian yang menyebabkan kejadian ini.

Tambahnya, siasatan yang dijalankan oleh pasukan teknikal pula mendapati telah berlaku mendapan tanah sebanyak 24.3 sentimeter (cm) dalam tempoh 25 tahun sejak talian paip gas ini ditauliahkan pada tahun 2000.

Kesan mendapan tanah tersebut telah menyebabkan berlakunya pergerakan kepada paip gas sebanyak 15.9 cm.

“Ini dibuktikan dalam persampelan paip yang menunjukkan tanda-tanda tekanan dan fatigue dalam struktur paip.

“Jabatan Mineral dan Geosains juga mendapati bahawa kawasan tanah tersebut tepu air dan mempunyai takungan air bawah tanah semulajadi yang menyebabkan tanah kawasan tersebut telah menjadi lembut,” katanya.

Mengulas lanjut, kata beliau, pasukan penyiasat menyimpulkan bahawa faktor persekitaran di bawah permukaan tanah merupakan punca utama paip tersebut gagal dan pergeseran logam paip gas kemudian mencetuskan api yang meledak pada pukul 8. 08 pagi, 1 April lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |