KUALA LUMPUR – Pelari denai negara, Aqmal Adzmi terus mempamerkan aksi terbaik pada saingan Janda Baik Ultra 2025 minggu lalu apabila berjaya mempertahankan gelaran bagi kategori 100 kilometer (km) lelaki.
Dia yang juga anak jati Bentong, Pahang melakukan catatan masa terpantas 18 jam 33 minit 54 saat (s) menewaskan Takio Fukumoto dari Jepun (18’57:53s) dan Zulhusni Ibrahim (19’55:14s) yang melengkapkan kedudukan podium.
Aqmal berkata, saingan pada tahun ini lebih bermakna kerana berlangsung di laman sendiri meskipun terpaksa berdepan cabaran sukar seperti perlu menempuh jarak yang jauh serta laluan tidak menentu.
“Perlumbaan pada tahun ini lebih mencabar dengan tambahan jarak, ketinggian serta laluan sukar akibat cuaca hujan. Bagaimanapun, ia lebih bermakna kerana menang sekali lagi di kampung sendiri.
“Saya bangga kerana kampung sendiri ada acara seperti ini. Ia benar-benar mengetengahkan apa yang Janda Baik tawarkan seperti kehijauan hutan, pemandangan serta laluan teknikal mencabar,” katanya.
Dia turut mendedahkan Janda Baik Ultra merupakan kejohanan keduanya tahun ini kerana perlu mengatur jadual latihan bagi mempersiapkan diri menjelang Kejohanan Dunia Larian Gunung dan Denai di Sepanyol September depan.
Sementara itu, kategori 100km wanita pula turut dimenangi pelari negara, Poo Lai Kuen yang menamatkan saingan dengan catatan masa 25’55:01s menewaskan Long Fengju (26’57:44s) dari China dan Nor Shahirah Nasir (29’41:18s).
Penganjuran kali ini boleh dianggap mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya menarik hampir 2,000 penyertaan dari 19 buah negara bagi memberi cabaran dalam kategori-kategori dipertandingkan.
“Sambutan sepanjang dua hari acara memang luar biasa. Daripada pelari elit hingga ke penyertaan kali pertama, semua membawa semangat masing-masing ke bukit-bukau yang ada di Janda Baik,” ujar Pengarah Perlumbaan, Jeff Ooi.
Sementara itu, Janda Baik Ultra turut menawarkan mata untuk indeks prestasi Persatuan Larian Denai Antarabangsa (ITRA) dan Ultra-Trail du Mont-Blanc (UTMB) yang diperlukan untuk kedudukan global serta perlumbaan elit antarabangsa. – KOSMO! ONLINE