Izzah perlu ‘hati kering’, lebih berani

5 hours ago 4

JAGUH berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri percaya dia perlu ada sifat ‘hati kering’ setiap kali turun beraksi bagi memberikan cabaran kepada pelumba-pelumba berkelas dunia.

Dia yang sedang menjalani program menaikkan jisim otot ketika ini baru sahaja pulang daripada kem latihan di Jerman dan banyak pengalaman ditimba pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.

Izzah berkata, keberanian merupakan salah satu aspek sedang dibentuk dalam dirinya kerana menganggap ia sangat diperlukan bagi mencabar kelompok pelumba elit di pentas tertinggi dunia.

“Secara peribadi, saya merasakan masih perlu mencari keberanian kerana ia sangat diperlukan bagi membolehkan saya memberikan cabaran kepada pelumba-pelumba elit terdiri daripada juara dunia dan sebagainya.

“Kalau boleh, saya memang nak berikan saingan sengit kepada mereka tetapi dari segi teknikal, saya kena belajar daripada perlumbaan. Kadang-kadang perlumbaan di Malaysia pun berguna juga untuk dipraktikkan di kejohanan besar,” katanya.

Dalam pada itu, Izzah turut mengakui dia masih belum dapat merasakan perbezaan dari segi kayuhan meskipun sudah menjalani program membina jisim otot selepas Hari Raya Aidilfitri April lalu.

Dia mungkin memberikan lebih perhatian terhadap latihan bagi meningkatkan daya kayuhan dalam persiapan bagi menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025 di Santiago, Chile pada 22 hingga 26 Oktober depan.

“Berhubung kayuhan, saya masih rasa benda sama lagi dan kita tidak tahu macam mana. Mungkin perlu dapatkan lebih ‘power’ dengan latihan di gimnasium tetapi ia perlu dibuat langkah demi langkah.

“Memang sekarang tempoh kena ‘belasah’ kerana perlu bekerja keras dan nanti akan ada peningkatan dari segi ‘power’ dan kelajuan. Ketika itulah kita akan nampak bagaimana progres,” ujar Izzah.

Read Entire Article
Pertanian | | | |