IjDAZ 2025 perkukuh penyatuan dakwah, syariah zakat peringkat nasional

10 hours ago 4

BANGI – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat–MAIWP (PPZ-MAIWP) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) terus memacu agenda pemerkasaan zakat negara menerusi penganjuran sulung Ijtimak Duat dan Asatizah Zakat (Ijdaz) 2025 di Bangi, Selangor.

Mengangkat tema Ke Arah Pemerkasaan Tadbir Urus Syariah dan Dakwah dalam Kalangan Amil Zakat di Malaysia, program ini menghimpunkan hampir 200 duat dan asatizah dari seluruh negara.

Ketua Pengarah Jawhar, Datuk Selamat Paigo berkata, Ijdaz disifatkan sebagai platform penting dalam memacu koordinasi dan penyatuan penggerak zakat negara.

“Program ini bukan sekadar pengisian kalendar tahunan, sebaliknya membawa nilai besar terhadap perkembangan institusi zakat di Malaysia, khususnya dalam memperkukuh aspek fatwa, dakwah serta pendekatan kutipan dan agihan yang lebih efisien,” katanya yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Ijdaz 2025 di Bandar Baru Bangi, di sini hari ini.

Selamat berkata, Ijdaz memberi isyarat jelas tentang keperluan menyelaras pendekatan syariah dan dakwah zakat di seluruh negara.

Katanya, ia menjadi ruang kolaboratif yang bermakna untuk memacu kecemerlangan institusi zakat secara bersama, selaras dengan aspirasi nasional dalam memperkukuh ekosistem pemerkasaan ummah.

“Seiring aspirasi tersebut, Ijdaz bukan sekadar perhimpunan ilmiah tetapi dirangka sebagai platform bersepadu untuk memperkukuh kerjasama antara institusi zakat, menyelaraskan kefahaman syariah dan memantapkan pelaksanaan dakwah zakat secara menyeluruh.

“Ia turut merapatkan jurang antara negeri melalui penyatuan suara amilin, pertukaran pendekatan dan pemantapan jaringan kerja menerusi koordinasi bersama Jawhar, Majlis Pengurusan Zakat Negeri (MPZN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ),” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata, Ijdaz hadir sebagai medan tindakan yang membina kefahaman bersama dan memperkukuh kesatuan amilin dalam mendepani cabaran sebenar pengurusan zakat hari ini.

Beliau menekankan kepentingan penyelarasan ilmu, pengalaman dan pendekatan secara realistik agar institusi zakat kekal relevan dan diyakini masyarakat.

“Semoga usaha ini menjadi asbab untuk Malaysia tampil sebagai negara contoh dalam pengurusan zakat di peringkat ASEAN dan dunia, seiring aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub utama kewangan Islam global,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |