Guru noda murid diperintah bela diri

6 hours ago 3

SEREMBAN – Seorang guru diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak murid perempuannya berusia 13 tahun di surau sekolah, tiga tahun lalu.

Hakim Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Farid Azhar Nawi, 47.

Surita memaklumkan keputusan itu dibuat setelah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan dan ekshibit serta membaca hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak.

“Pada tahap penilaian secara maksimum, mahkamah memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie bagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Oleh itu, tertuduh dipanggil untuk membela diri dan diberi tiga pilihan iaitu memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi, memberi kenyataan tidak bersumpah atau berdiam diri,” katanya pada keputusan akhir kes pendakwaan hari ini.

Peguam Nor Azleen Khairina A Aziz yang mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun ketika kejadian yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai guru.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 5.30 petang di surau sebuah sekolah menengah di Senawang di sini pada 4 Ogos 2022.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(c) akta sama dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta penjara lima tahun dan dua sebatan.

Mahkamah menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan semula kes, manakala 1 dan 14 Ogos untuk tarikh bicara.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |