Eu Cong buru ranking 100 terbaik dunia

7 hours ago 5

SUBANG JAYA – Dua pingat emas diraih Low Eu Cong di Piala Asics Masiswa 2025 bukan sekadar koleksi peribadi, tetapi pembakar semangat untuk menempatkan dirinya dalam kelompok 100 terbaik dunia menjelang hujung tahun ini.

Pemain berusia 25 tahun itu memenangi acara perseorangan lelaki dan membantu pasukannya muncul juara berpasukan dalam kejohanan yang berlangsung di Universiti Taylor’s di sini hari ini.

“Tentulah saya gembira menang emas kerana kejohanan ini sangat mencabar. Ramai pemain kebangsaan sertai, jadi bukan mudah. Saya bersyukur dapat menang dalam acara individu dan pasukan,” katanya.

Meskipun tidak terpilih ke Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Rhine-Ruhr, Jerman kali ini, namun Eu Cong enggan berputus asa dan terus mengalihkan fokus kepada pentas antarabangsa.

“Mereka (jurulatih) di BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sudah pilih pemain untuk WUG (Universiade), jadi saya tiada pilihan. Tapi tak mengapa, saya akan terus berlatih keras dan berjuang di kejohanan lain,” katanya.

Eu Cong dijadual menyertai semula Piala Lin Dan di China bulan depan sebelum turun ke gelanggang BWF pada Ogos.

“Ramai pemain Top 50 dan Top 100 dunia akan bertanding. Ini peluang terbaik untuk saya uji tahap permainan saya dengan pemain-pemain teratas,” katanya.

Eu Cong sebelum ini pernah beraksi di Piala Lin Dan, namun tersingkir seawal pusingan 16, menjadikan penampilan kali ini sebagai misi penebusan.

“Kali pertama dulu saya hanya main sekal. Sekarang saya masuk daripada pusingan 16, jadi saya sangat hargai peluang ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus ASICS Malaysia, Boon Tib Soom Nik berkata, penganjuran kejohanan tersebut bertujuan memperkasa kesihatan mental pelajar melalui penglibatan aktif dalam sukan.

“Saya faham ramai pelajar mengalami tekanan dan ada yang terlibat dalam perkara yang tidak sihat. Inisiatif ini diperkenalkan untuk membantu mereka mencapai kesejahteraan mental melalui sukan,” katanya. KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |