Empangan Sabo elak banjir puing Kampung Iboi siap 62 peratus

5 hours ago 4

BALING – Projek pembinaan infrastruktur Empangan Sabo di lembangan Sungai Kupang dekat Kampung Iboi, di sini sudah mencapai 62 peratus kemajuan, berbanding 20 peratus yang dijadualkan dalam perancangan asal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merangkap Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata, tahap pembangunan fizikal projek bernilai RM22.8 juta itu mendahului jadual asal sebanyak 42 peratus.

“Apa yang menarik adalah apabila kontraktor, Damaikon Sdn. Bhd. dan perunding projek, Mega Consult Sdn. Bhd. sudah pecut sehingga 62 peratus, sedangkan mereka hanya perlu siapkan 20 peratus.

“Jarang berlaku begini kerana selalunya saya turun sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri ini, ceritanya projek sakit, projek lambat, minta EOT (lanjutan masa). Ini satu-satunya yang saya datang, ia laju. Jadi, kita ucapkan terima kasih,” katanya kepada pemberita di tapak projek Empangan Sabo di Sungai Kupang, hari ini.

Menurut beliau, projek berkenaan diluluskan Kerajaan Persekutuan susulan tragedi tanah runtuh dan aliran puing akibat hujan lebat berterusan serta berintensiti tinggi di Sungai Kupang pada 4 Julai 2022.

“Fungsi infrastruktur Sabo ini adalah menahan sisa-sisa puing (sisa pokok, bongkah batuan, pasir dan lumpur) yang boleh mengakibatkan bencana banjir puing. Dalam kejadian pada Julai 2022 itu, berlaku tiga kematian serta kerosakan harta benda,” ujarnya.

Jelasnya, empangan itu bertindak menahan puing dan memperlahankan aliran sungai bagi melindungi penduduk, harta benda dan infrastruktur di kawasan berhampiran.

Selain itu, katanya, beliau turut melawat projek pembinaan 17 unit rumah ganti serta kemudahan awam kepada mangsa banjir puing Kampung Iboi dengan peruntukan berjumlah RM3 juta yang kini mencatatkan 95 peratus kemajuan.

Sementara itu, berhubung projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Baling (Sungai Kupang) dan RTB Baling Fasa 2, beliau memaklumkan kedua-duanya masih di peringkat awal pembinaan.

Katanya, kemajuan semasa dua projek RTB berkenaan masing-masing adalah 12 peratus dengan tarikh dijangka siap pada 6 November 2026 dan 3.68 peratus dengan tarikh dijangka siap pada 31 Januari 2029.

“Kedua-dua projek ini dilaksanakan untuk menangani bencana banjir di Baling. Data Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan berlaku 17 insiden banjir pada 2024, manakala 10 insiden pada 2023. Pelaksanaan dua RTB ini dijangka memberi manfaat kepada 5,000 penduduk di Baling,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |