Ekonomi mencabar, OPR dijangka turun esok

5 hours ago 4

PETALING JAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) esok dijangka akan memutuskan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus bagi menangani cabaran ekonomi semasa.

Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah berkenaan sekiranya diambil, akan mengurangkan kos pembiayaan bagi sektor perniagaan dan juga isi rumah.

Ini seterusnya menggalakkan aktiviti pembiayaan dalam sektor perbankan dan menggalakkan lagi aktiviti permintaan domestik.

“Situasi ekonomi bagi tempoh separuh tahun yang kedua ini dilihat lebih mencabar. Terbaharu, Amerika Syarikat (AS) telah pun menaikkan kadar tarif import timbal balik untuk barangan daripada Malaysia berjumlah 25 peratus, berbanding 24 peratus sebelum ini.

“Ini sudah pasti akan memberi kesan terhadap momentum pertumbuhan ekonomi bagi separuh tahun yang kedua dan menuntut satu bentuk campur tangan oleh kerajaan termasuk BNM bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi dapat dikekalkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Afzanizam

Presiden AS, Donald Trump di platform Truth Social hari ini mengumumkan pengenaan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas Malaysia bermula Ogos, yang disifatkan beliau sebagai perlu untuk menghapuskan jurang defisit perdagangan AS dengan Malaysia.

Katanya, kadar tersebut tidak termasuk tarif yang dikenakan ke atas sektor-sektor tertentu.

Sementara itu, Mohd. Afzanizam menambah, dari sudut dasar fiskal, pihaknya mengharapkan pembelanjaan pembangunan negara dapat dipercepatkan, terutamanya berkenaan projek-projek infrastruktur yang akan memberikan suatu bentuk kesan rantai atau pengganda terhadap pertumbuhan ekonomi.

“Di samping itu, bagi tempoh jangka masa sederhana dan panjang, sudah pasti usaha membentuk hubungan lebih baik dari segi perdagangan antarabangsa serta hubungan diplomatik dengan negara seperti di Eropah, ASEAN dan sebagainya penting bagi mempelbagaikan pasaran, terutamanya bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana menembusi pasaran eksport.

“Perkara ini merupakan suatu usaha berterusan bagi memastikan momentum globalisasi dapat dikekalkan kerana ia boleh memanfaatkan ekonomi negara Malaysia untuk tempoh jangka panjang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |