Duda guna helah dahaga sebelum didakwa ‘sentuh’ budak

6 hours ago 4

MELAKA – Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak majikannya berusia enam tahun, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mahfuz Mahmud, 50, yang merupakan seorang duda lima anak membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun bagi tujuan seksual.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.25 pagi di sebuah rumah di Batu 3, Kampung Duyong dalam daerah Melaka Tengah pada 21 Jun 2025.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Difahamkan, sebelum kejadian tertuduh yang membantu bapa mangsa berniaga di hadapan kediaman keluarga itu memberitahu dia merasa dahaga dan mahu masuk ke dalam rumah untuk minum air.

Tertuduh bagaimana bertindak mengunci pintu rumah dan tindakan itu disedari oleh bapa mangsa.

Berasa curiga dengan tingkah laku tertuduh, bapa mangsa kemudiannya memeriksa keadaan menerusi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dari telefon bimbitnya dan terkejut melihat perbuatan lelaki itu terhadap anaknya.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Azfar Mahmud menawarkan jaminan RM20,000 beserta syarat tambahan dilarang mengganggu saksi dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan menyara ibunya serta lima orang anak.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 beserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan tarikh 29 Julai depan untuk sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |