Dah halau, siap rakam video abah, tak ada adab – PU Azhar

9 hours ago 5

PETALING JAYA – Jemaah lelaki yang dihalau dari sebuah surau di Teluk Panglima Garang merupakan bapa kepada pendakwah dan personaliti televisyen terkenal, PU Azhar Hilmi.

Menerusi hantaran di Facebooknya, PU Azhar meluahkan kekesalan apabila bapanya diperlakukan sedemikian rupa seolah-olah membuat satu kesalahan besar.

Katanya, iktikaf di dalam surau selepas menunaikan solat subuh merupakan amalan biasa bapanya sehinggalah selesainya waktu dhuha.

“Hari ini tular satu video seorang pakcik sedang duduk beriktikaf dalam surau di Halaman 11, itu abah saya.

“Seawal pagi, abah ke surau untuk solat subuh. Lepas solat, macam biasa abah akan duduk sekejap, baca al-Quran sambil tunggu waktu dhuha. Dah selesai solat sunat dhuha, baru dia akan gerak balik.

“Tapi pagi itu, datang seorang wanita dipercayai dari pengurusan dan terus halau abah keluar dari surau,” katanya.

PU Azhar berkata, tindakan wanita terbabit yang bukan sahaja menghalau malah merakam bapanya secara terbuka menunjukkan rasa kurang hormat kepada jemaah surau yang hadir.

“Lebih menyakitkan, dia siap rakam video abah secara terbuka seolah-olah abah ni buat salah besar. Tak ada adab. Tak ada ihsan. Tak ada rasa hormat.

“Rasa geram dan sakit hati bila tengok video tu,” katanya.

Dalam pada itu, PU Azhar turut mempersoalkan sejak bilakah surau menjadi tempat ekslusif dimana para jemaah perlu dihalau walaupun ingin menunaikan ibadah.

“Abah saya bukan tidur dalam surau. Bukan buat bising. Bukan ganggu sesiapa. Dia cuma duduk diam, baca al-Quran, tunggu waktu dhuha lepas tu nak balik. Tapi inilah yang berlaku.

“Kalau beginilah layanan kita terhadap orang tua yang datang ke rumah Allah, apa yang tinggal pada kita sebagai masyarakat?,” katanya.

Sementara itu PU Azhar turut menasihati agar semua lapisan masyarakat terus kekal menjaga adab.

“Kita jaga surau, ya. Tapi jangan sampai kita jaga bangunan, tapi lupa jaga adab.

“Kita boleh halau orang dari surau. Tapi kita tak boleh halau doa dan keluhan mereka dari langit. Geramnya lahai. Allah!,” katanya.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan, tindakan seorang wanita menegur seorang jemaah lelaki yang sedang beribadah di sebuah surau mencuri perhatian ramai.

Menerusi video tular, tindakan wanita itu yang meminta jemaah beredar walaupun datang untuk solat dianggap tidak wajar dan bertentangan dengan peranan surau sebagai tempat ibadah umat Islam.

Malah, alasan yang diberikan wanita tersebut dipercayai berlaku kes kecurian di surau tersebut baru-baru ini.

Dalam pada itu, hantaran terkini di Facebook tersebut memaklumkan, perakam yang merakam insiden tersebut bukannya AJK surau berkenaan.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |