ATLANTA – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique mengakui bimbang untuk berdepan Inter Miami pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 di Stadium Mercedes-Benz tengah malam nanti.
Ia gara-gara skuad kendaliannya akan berdepan pemain bintang pasukan tersebut, iaitu Lionel Messi yang pernah dibimbingnya ketika beliau mengemudi Barcelona dalam saingan La Liga pada 2014 hingga 2017.
Enrique berkata, beliau tahu kemampuan yang dimiliki legenda bola sepak Argentina itu selain menjangkakan Messi untuk mengucar-kacirkan benteng pertahanan PSG sepanjang perlawanan tersebut.
Tambah beliau, walaupun pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu sudah menjangkau usia 38 tahun, namun kualiti yang dimiliki tidak pernah pudar dan sentiasa mempamerkan aksi pada tahap terbaik.
“Berdepan Inter Miami, saya anggap ia lebih kepada perlawanan menentang Messi. Bagi saya, ia bukan satu perkara mudah apabila anda akan berdepan sebuah pasukan yang memiliki Messi di dalamnya.
“Tidak kiralah sama ada ia hari ini, semalam atau beberapa tahun lalu, Messi adalah Messi dan tidak pernah berubah. Bagi saya, dia masih mencuri tumpuan dan umur hanyalah angka baginya,” kata Enrique.
Meskipun sangat menyanjungi Messi, namun pengendali dari Sepanyol itu tetap mengharapkan barisan pemainnya untuk menampilkan aksi terbaik bagi memastikan mereka layak ke pusingan suku akhir.
“Kami perlu bersedia sepenuhnya pada perlawanan itu kerana mereka turut memiliki pemain-pemain hebat yang lain seperti Luis Suarez. Kami mungkin akan dihukum jika terlalu fokus kepada seseorang pemain sahaja.
“Bagaimanapun, sekiranya Messi dapat menjaringkan gol pada perlawanan itu nanti, saya akan berpaling ke kamera dan mengakui bahawa dia adalah pemain terbaik sepanjang zaman,” ujarnya. – AGENSI29