ATLANTA – Jurulatih Inter Miami, Javier Mascherano berharap isu peribadi antara pemain bintang, Lionel Messi dan Paris Saint-Germain (PSG) mampu membantu mereka menewaskan juara Eropah tersebut.
Messi dijangka mahu menggunakan peluang untuk melepaskan geram apabila kedua-dua pasukan dijadualkan membuat perhitungan pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 di Stadium Mercedes-Benz tengah malam nanti.
Mascherano berkata, sekiranya Messi masih menyimpan rasa marah terhadap kelab Perancis itu, ia akan menjadi kelebihan buat Inter Miami kerana beliau menganggap Messi mampu beraksi pada tahap terbaik sekiranya beremosi.
“Sudah tentu ia akan menjadi kelebihan untuk kami sekiranya Messi berada dalam keadaan marah pada perlawanan itu nanti. Saya yakin dia boleh menampilkan aksi ekstra dalam keadaan tersebut.
“Bagaimanapun, saya fikir semua itu sudah berlalu dan suasana sangat berbeza jika dibandingkan di sini (Amerika Syarikat) dan Eropah. Kami hanya akan cuba tampilkan aksi terbaik,” katanya.
Jika dilihat pada reputasi, PSG dilihat tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir berdasarkan senarai pemain yang dimiliki selain status sebagai juara Eropah, namun kemampuan Inter Miami tidak boleh dipandang remeh.
Ia disebabkan pasukan Liga Bola Sepak Utama (MLS) itu turut dibarisi pemain-pemain ternama dunia seperti Luis Suarez, Sergio Busquets dan Jordi Alba biarpun mereka sudah berada di penghujung karier.
Sementara itu, Alba mengakui sudah tidak sabar untuk berdepan PSG bimbingan Luis Enrique, iaitu individu yang pernah menjadi jurulatih ketika dia beraksi dalam saingan La Liga bersama Barcelona.
“Sudah berulang kali saya cakap beliau merupakan individu terbaik, bukan sahaja dari aspek kejurulatihan, malah beliau juga mampu menguruskan pasukan dengan baik. Saya teruja dan tidak sabar untuk bertemu dengannya,” ujarnya. – AGENSI