TEKNOLOGI moden telah memberi wajah baharu dan memudahkan urusan imigresen di lapangan terbang sekali gus menjadikan pengalaman pengembaraan lebih bermakna buat pengembara.
Melalui penggunaan sistem imbasan pasport automatik, pengecaman wajah dan pangkalan data yang bersambung secara digital, pelancong kini tidak lagi perlu beratur panjang atau mengisi borang secara manual.
Segala proses pemeriksaan dan pengesahan identiti dapat diselesaikan dengan pantas dan tepat dalam tempoh masa singkat yang secara tidak langsung mengurangkan kesesakan, menjimatkan masa perjalanan serta melancarkan aliran pergerakan penumpang.
Sistem ‘Click and Travel’ yang diperkenalkan Direktorat Jeneral Hal Ehwal Residensi dan Warganegara Asing Dubai (GDRFA) kini mula diguna pakai di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB), Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Langkah pembaharuan itu menjadikan teknologi automasi dan biometrik digital berpotensi mengubah corak pengurusan pelancongan global menjadi lebih pantas, fleksibel dan efisien.
Teknologi ‘Click and Travel’ itu menjadi inovasi pintar apabila pegawai imigresen boleh bergerak terus kepada penumpang di mana-mana sahaja di dalam kawasan terminal untuk menyelesaikan sepenuhnya urusan pelepasan.
Pegawai imigresen akan terus pergi kepada penumpang dengan membawa peranti mudah alih pintar di tangan yang direka khusus untuk memproses prosedur imigresen penumpang secara singkat.
Peranti tersebut dilengkapi sistem pengesahan biometrik yang dihubungkan kepada sistem GDRFA Dubai untuk mengesan siapa sahaja penumpang untuk didekati ketika masa puncak atau diperlukan.
Urusan memproses prosedur imigresen penumpang tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh hanya 12 hingga 15 saat.
Kelainan pendekatan yang dirintis oleh Dubai ini telah membantu mengurangkan kesesakan di kaunter imigresen.
Gulf News melaporkan, khidmat imigresen mudah alih pintar itu merupakan yang pertama di dunIa bagi menyelesaikan sepenuhnya prosedur imigresen penumpang di lapangan terbang dan ia mula diusahakan sejak Mei lalu.
Pendekatan berkenaan memberi nafas baharu kepada pengurusan kawalan pasport di salah sebuah lapangan terbang paling sibuk di dunia, khususnya ketika jumlah penumpang meningkat dan barisan panjang mula terbentuk di kawasan pemeriksaan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dipenuhi media ketika sistem Click and Travel dilancarkan pada 7 September lalu.Menurut Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pengenalan dan Warganegara Asing Dubai, Leftenan Jeneral Mohammed Ahmed Al Marri, tujuan utama ia direka khas untuk mengurangkan kesesakan atau barisan panjang semasa waktu puncak mahupun situasi kecemasan.
Keutamaan turut diberikan kepada keluarga, kanak-kanak dan golongan kurang upaya.
“Peranti mudah alih ini dilengkapi dengan pengecam wajah (facial recognition), imbasan cap jari dan pembaca cip pasport elektronik yang disambungkan terus ke pangkalan data imigresen Dubai.
“Ia terbuka kepada semua kategori penumpang termasuk warganegara UAE, penduduk tetap (mastautin) dan warga Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan pelancong antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Mula dilancarkan secara rasmi 7 September lalu, kemudahan tersebut bagaimanapun buat masa ini terhad kepada warganegara UAE dan penduduk tetap sahaja sebelum diperluas kepada pemegang visa pelancong pada fasa seterusnya.
Menurut Digi Flow yang memberi penerangan lanjut mengenai Click and Travel, penumpang bagi sistem ini tidak perlu memuat turun sebarang aplikasi, akaun pendaftaran atau membayar sebarang yuran untuk menggunakan kemudahan tersebut.
Bagaimanapun, Click and Travel bukanlah sistem yang menggantikan keseluruhan kemudahan kawalan pasport sedia ada.
Sebaliknya, ia berfungsi sebagai mekanisme tambahan yang membolehkan pihak berkuasa bertindak dengan lebih pantas dan fleksibel mengikut keadaan di terminal.
Difahamkan buat masa ini, golongan yang layak menggunakan perkhidmatan tersebut mempunyai skop berbeza bagi penumpang yang berlepas dan tiba di Dubai.

Bagi penumpang yang berlepas dari Dubai, kemudahan tersebut tersedia untuk warganegara UAE, penduduk tetap dan pelawat. Sementara mereka yang tiba di Dubai hanya melibatkan warganegara UAE dan penduduk tetap sahaja layak.
Skop penggunaan dijangka diperluas kepada kategori penumpang lain pada masa akan datang, termasuk pelawat yang memasuki negara itu menggunakan visa pelancong. Pun begitu, ia tertakluk kepada perancangan yang diluluskan dan keperluan operasi.
Meskipun kemudahan tersebut memudahkan urusan, namun penumpang tidak seharusnya menganggap Click and Travel sebagai perkhidmatan yang boleh diminta pada bila-bila masa.
Perkara itu kerana kemudahan tersebut tidak direka untuk menggantikan proses kawalan pasport biasa atau digunakan secara automatik oleh setiap penumpang di terminal.
Sebaliknya sistem Click and Travel diaktifkan apabila keadaan operasi memerlukannya, terutama ketika waktu perjalanan puncak, barisan panjang, kecemasan atau situasi jumlah penumpang meningkat dengan ketara.
Kemudahan seperti kaunter automatik (smart gate) dan Red Carpet Tunnel (koridor pintar berkuasa kecerdasan buatan) tetap diteruskan meskipun teknologi Click and Travel telah diperkenalkan.
Ini kerana sistem tersebut menjadi menjadi salah satu pilihan bagi memudahkan proses pendaftaran sekali gus mempercepat proses pemeriksaan penumpang menggunakan teknologi biometrik.
Keupayaan untuk menggerakkan pegawai secara mudah alih dilihat penting dalam pengurusan lapangan terbang yang berdepan perubahan jumlah penumpang dari semasa ke semasa kerana dalam keadaan biasa, pemeriksaan banyak bergantung kepada kaunter dan lokasi yang telah ditetapkan.
Apabila berlaku lonjakan jumlah penumpang, proses lazim itu tetap boleh berdepan tekanan akibat barisan yang semakin panjang.
Bagi mengatasi situasi itu, Click and Travel membolehkan pegawai digerakkan ke kawasan yang memerlukan perhatian, sekali gus memberi lebih banyak ruang kepada pasukan operasi untuk mengurus aliran penumpang berdasarkan keadaan sebenar di terminal.
Sepanjang tempoh pembangunan antara Mei hingga 31 Ogos lalu, sebanyak 31,373 transaksi penumpang telah berjaya diselesaikan menerusi Click and Travel.
Jumlah tersebut menunjukkan teknologi berkenaan sudah digunakan dalam skala yang signifikan sepanjang tempoh percubaan, selain memberikan gambaran mengenai keupayaannya untuk menjadi salah satu komponen tambahan dalam pengurusan kawalan pasport.
Bagi penumpang, kelebihan utama sistem itu ialah potensi mengurangkan tempoh menunggu ketika kemudahan berkenaan diaktifkan.
Mereka tidak semestinya perlu beratur di kaunter tetap kerana pegawai boleh menjalankan proses pemeriksaan di mana sahaja lokasi penumpang di dalam terminal.
Bagaimanapun, kelancaran tersebut masih bergantung kepada keadaan operasi dan keputusan GDRFA Dubai mengenai lokasi serta masa perkhidmatan itu diperlukan.
Justeru penumpang perlu terus mengikuti arahan pihak lapangan terbang dan menggunakan kaunter kawalan pasport, smart gate atau kemudahan lain yang disediakan.
Apapun, pengenalan Click and Travel mencerminkan usaha Dubai untuk memanfaatkan teknologi bagi menjadikan perjalanan melalui lapangan terbang lebih cekap tanpa mengetepikan sistem sedia ada.
Pendekatan mudah alih itu membolehkan kawalan pasport disesuaikan mengikut keadaan dan bukannya bergantung sepenuhnya kepada infrastruktur tetap.
Bagi DXB yang menerima jumlah penumpang yang tinggi, fleksibiliti seperti itu amat penting terutama ketika musim perjalanan sibuk.
Dengan pegawai dan teknologi boleh digerakkan mengikut keperluan, pihak berkuasa mempunyai lebih banyak pilihan untuk menangani kesesakan serta memastikan pergerakan penumpang kekal lancar.

3 hours ago
3












![[VIDEO] ‘Sampai karpet kena tukar, bau tidak tahu macam mana’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/b7bf61f8-05e6-4d75-bd48-132f75d6f8d1.jpeg)































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)




