NICE – Tujuh peserta Kejohanan Dunia Ironman 70.3 2026 berjaya menamatkan perlumbaan di salah satu litar perlumbaan (race course) yang paling mencabar di dunia, di Nice semalam.
Perlumbaan tersebut menyaksikan peserta daripada seluruh dunia berenang sejauh 1.8km, berbasikal 90km dan berlari 21km.
Peserta termuda daripada Malaysia yang juga penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama melayakkan diri ke kejohanan bertaraf dunia ini, Ahmad Dani Amir Fariz, 19 tahun, berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh masa 6 jam 44 minit 21 saat.
“Ini adalah pertandingan yang amat sukar;” kata Ahmad Dani sambil mengalirkan air mata kegembiraan.
“Segmen berbasikal terlalu mencabar. Bukitnya sungguh curam dan pendakian adalah amat sukar sehinggakan ada beberapa ketika saya hanya mampu mengayuh 11km/jam. Namun, saya cuba mengejar masa semasa turun,” kata Ahmad Dani, pelajar jurusan Undang-Undang tahun 1 dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ahmad Dani turut mengambil pendekatan untuk menikmati pemandangan pergunungan Nice agar tidak berasa tertekan.
“Ini adalah kali terakhir kejohanan dunia Ironman 70.3 diadakan di Nice jadi, meskipun litar amat mencabar, saya nekad untuk menikmati perlumbaan ini sebab saya tidak tahu bila lagi saya akan berpeluang berenang, berbasikal dan berlari di sini,” tambahnya.
Ini adalah kali ke-3 Ahmad Dani menyertai acara Ironman 70.3. Beliau mendapat kedudukan 10 teratas untuk kategori 18-24 tahun semasa di Ironman 70.3 Langkawi 2025 yang melayakkannya ke kejohanan dunia ini.
“Saya masih lagi baru berjinak-jinak dalam sukan triatlon ini. Sejujurnya, saya tidak menjangka akan layak ke peringkat kejohanan dunia semasa saya di Langkawi kerana itulah kali pertama saya menyertai triatlon 70.3,” ujar Ahmad Dani.
Ahmad Dani berharap untuk terus menceburkan diri di dalam sukan triatlon.
“Ini hanyalah titik permulaan dan saya harap untuk terus membanggakan nama Malaysia serta UKM. Saya juga ingin membuktikan bahawa pelajar universiti, terutamanya jurusan undang-undang, bijak mengurus masa dan boleh mengimbangkan pelajaran dan penglibatan dalam sukan,” tambah Ahmad Dani yang turut merupakan penerima Anugerah Dekan untuk semester ini. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
10










![[VIDEO] ‘Sampai karpet kena tukar, bau tidak tahu macam mana’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/b7bf61f8-05e6-4d75-bd48-132f75d6f8d1.jpeg)

































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)




