ISKANDAR PUTERI – Pasukan gergasi Thailand, Buriram United menghormati kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT), namun tetap yakin mampu mencipta kejutan apabila kedua-dua gergasi Asia Tenggara itu bertembung dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, esok.
Pengendali baharu Buriram United, Mario Silva menganggap pertemuan tersebut sebagai ujian penting buat anak buahnya selain peluang terbaik untuk mengukur kemampuan sebenar skuad kendaliannya di pentas tertinggi Asia.
Jurulatih kelahiran Brazil itu mengakui JDT memiliki barisan pemain berkualiti tinggi selain cukup dominan dalam saingan domestik, namun percaya kekuatan secara kolektif mampu membantu Buriram mencabar Harimau Selatan.
“Ini perlawanan yang sangat istimewa buat saya kerana ia penampilan pertama di ACLE bersama Buriram.
“Saya tahu ia bakal menjadi tugas sukar kerana kedua-dua pasukan adalah kelab gergasi Asia Tenggara yang mempunyai kekuatan tersendiri.
“JDT adalah pasukan yang kuat dan dibarisi pemain individu yang hebat. Di liga domestik, mereka sukar digugat. Namun, apa yang paling penting buat saya ialah persembahan kolektif pasukan sendiri,” katanya dalam sidang akhbar praperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini petang tadi.
Silva berkata, pihaknya sudah menjalankan analisis terperinci terhadap kekuatan dan kelemahan JDT, termasuk mendapatkan pandangan kapten pasukan, Kenneth Dougall.
Bagaimanapun, beliau mengakui persiapan Buriram sedikit terhad berikutan jadual perlawanan yang padat, sekali gus mengehadkan masa latihan di padang.
“Kami memang tidak mempunyai masa yang panjang untuk berlatih secara fizikal di padang. Kebanyakan kerja dilakukan menerusi analisis video dan memberi perhatian kepada perincian kecil.
“Namun, saya tidak bimbang kerana asas yang dibina pasukan ini dalam tempoh dua bulan lalu amat kukuh.
“Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap profesionalisme dan kualiti yang ada pada barisan pemain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
4









![[VIDEO] ‘Sampai karpet kena tukar, bau tidak tahu macam mana’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/b7bf61f8-05e6-4d75-bd48-132f75d6f8d1.jpeg)


































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)




