‘Ledakan’ 29 gol, Infinity FC U11 juara kategori U12 Premier

1 day ago 16

PETALING JAYA — Infinity FC U11 melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Juara Milo Junior Champions League Season B 2026 bagi kategori U12 Premier, selepas mengharungi saingan sengit yang berlangsung dari 4 Julai hingga hari ini di JSA Arena, Setia Alam.

Saingan yang membabitkan lima pasukan iaitu Infinity FC, TSSX, Selangor FC U11, JSA City dan TSA FC, menggunakan format liga dua pusingan secara timbal balik, sekali gus memberikan pendedahan kompetitif yang cukup bernilai kepada barisan pemain muda Infinity FC.

Sepanjang kempen, Infinity FC meledakkan 29 jaringan gol, manakala penyerang berbisa pasukan, Khaizuran Harraz Khairul Nizam, muncul sebagai penjaring terbanyak liga.

Ketua Jurulatih Infinity FC, Coach AB Saiful berkata, penyertaan dalam kategori U12 bukan semata-mata untuk mengejar keputusan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada proses membina pemain yang lebih bersedia dari segi teknikal, taktikal dan mental.

“Kami memang mahu pemain merasai sendiri pengalaman bermain dalam kategori yang lebih tinggi. Bila mereka berdepan pemain yang lebih berusia dan lebih matang dari segi permainan, mereka belajar untuk berfikir dan membuat keputusan dengan lebih cepat.

“Kejuaraan ini sudah tentu kami syukuri dan banggakan, tetapi paling penting ialah pengalaman yang mereka kumpul sepanjang liga. Itu yang akan menjadi bekalan untuk perjalanan mereka selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman sepanjang liga adalah langkah penting untuk membentuk pasukan yang lebih baik bagi musim akan datang.

“Kami akan terus bekerja. Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dan kami tidak mahu pemain selesa dengan satu kejayaan.

“Sasaran kami adalah untuk menjadikan mereka lebih baik, lebih matang dan lebih kompetitif untuk kejohanan-kejohanan seterusnya serta persediaan menghadapi musim depan,” katanya.

Dalam pada itu, memetik kenyataan Infinity FC, kejayaan tersebut dicapai ketika Infinity FC U11 beraksi dalam kategori U12 Premier, iaitu satu tahap lebih tinggi daripada kelompok umur sebenar sebahagian besar pemainnya.

Katanya, bagi Infinity FC, kejayaan menjuarai Milo Junior Champions League Season B 2026 bukanlah penamat kepada perjalanan pasukan.

“Sebaliknya, ia menjadi platform persediaan untuk menghadapi beberapa lagi kejohanan berprestij yang bakal disertai pasukan dalam masa terdekat.

“Dengan 29 gol, gelaran penjaring terbanyak dan trofi kejuaraan, Infinity FC U11 membuktikan bahawa keberanian mencabar kategori lebih tinggi mampu menghasilkan pengalaman serta pencapaian yang cukup bermakna,” kata Infinity FC.

Malah katanya, kejayaan Infinity FC U11 turut mendapat inspirasi daripada pasukan Infinity FC U12 yang baru-baru ini membawa pulang kejayaan di Garuda International Cup 2026 di Jakarta, apabila muncul johan kategori Plate.

“Semangat daripada kejayaan tersebut menjadi antara pencetus motivasi kepada skuad U11 untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang kempen Milo Junior Champions League Season B.

“Komposisi pasukan juga memperlihatkan keberanian Infinity FC memberikan pendedahan kepada pemain muda. Seramai 14 pemain berusia 11 tahun dan empat pemain berusia 12 tahun membentuk skuad yang bersaing dalam kejohanan tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |