KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat dalam kes yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau ada memberikan layanan istimewa kepada salah seorang saksi pendakwaan.
Ketua Cawangan Siasatan B, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, Mazery Mohd Zaini, 42, turut menafikan bahawa siasatannya dibuat dengan tujuan untuk mengenakan Ahli Parlimen Pagoh itu.
Selain itu, pegawai penyiasat itu juga menafikan bahawa saksi pendakwaan ke-27 iaitu pengarah Syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd, Datuk Seri Azman Yusoff telah `dipegang’ oleh SPRM.
Saksi pendakwaan ke-29 berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam-peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Amer Hamzah Arshad.
Hisyam: Dan saya katakan beliau (Azman) mendapat layanan istimewa sebab ada ‘deal’., ‘handshake’ antara SPRM dan Datuk Azman. Beri keterangan, dan kita (SPRM) akan beri imuniti, perlindungan. Setuju atau tidak setuju?
Mazery: Saya tidak setuju.
Pada 27 Ogos lalu, Azman ketika memberi keterangan membuat kejutan apabila bersetuju dengan cadangan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik bahawa dia hadir ke mahkamah sebagai saksi adalah bagi mengelakkan dirinya didakwa di mahkamah atas kesalahan meminta rasuah.
Pada awal perbicaraan, Azman mengesahkan dirinya merupakan salah seorang suspek dalam siasatan kes membabitkan Program Jana Wibawa dan terdapat aduan terhadapnya kerana meminta rasuah daripada kontraktor.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat antaranya Nepturis dan Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Azman.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Terdahulu, Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil semula empat orang saksi pendakwaan yang telah selesai memberi keterangan.
Hakim tersebut membenarkan permohonan tersebut dengan syarat bahawa soalan-soalan yang akan ditanya hanya bertumpu tentang sumbangan kepada Bersatu dan berkait dengan ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad yang merupakan sepupu kepada Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan; menantu kepada Muhyiddin.
“Berkait dengan peranan Adam Radlan, telahpun disoal sebelum ini. Sekiranya ada soalan baharu berkaitan peranan baru (Adam Radlan), saya akan bertegas,” katanya.
Amer Hamzah dalam hujahannya ketika memohon untuk memanggil semula saksi-saksi memaklumkan bahawa pembelaan mereka telah `dicacatkan’ apabila pendakwaan memutuskan untuk tidak memanggil Adam Radlan.
“Ketika soal balas, soalan-soalan berkaitan Adam Radlan telah disusun dan akan ditanya ketika beliau dipanggil untuk beri keterangan. Tetapi apabila pendakwaan maklumkan Adam Radlan tidak akan dipanggil, kami menjadi `tempang’. Oleh itu kami memohon melalui Seksyen 425 Kanun Acara Jenayah untuk memanggil semula saksi-saksi ini bagi bertanyakan soalan mengenai pembabitkan Adam Radlan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu bahawa saksi-saksi berkenaan telah disoal balas dengan spesifik berkait dengan Adam Radlan.
“Peranan dan permintaan sumbangan (berkait) Adam Radlan telah ditanya secara spesifik. Saksi-saksi telah ditanya dengan teliti. Alasan bahawa Adam Radlan tidak dipanggil sebagai saksi tidak boleh dijadikan alasan. Kalau Adam Radlan, minta simpang, macam mana? Ia akan menyebabkan kisah ini tidak berkesudahan,” hujah pendakwaan.
Perbicaraan bersambung lagi esok. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
5









![[VIDEO] ‘Sampai karpet kena tukar, bau tidak tahu macam mana’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/b7bf61f8-05e6-4d75-bd48-132f75d6f8d1.jpeg)


































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)




