Raja Permaisuri Agong santuni keluarga tiga beranak maut rumah terbakar

1 day ago 16

PETALING JAYA – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menziarahi Khairul Nizam Wahid yang kehilangan isteri dan dua anak dalam kejadian kebakaran di Jalan Satria 7/5, Taman Titiwangsa, Kluang, Johor pada Rabu lalu.

Menerusi hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, perasaan pilu dan hiba menyelubungi suasana apabila Khairul Nizam menceritakan kronologi tragedi menyayat hati tersebut kepada Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

“Kebakaran tragis di Taman Titiwangsa itu telah meragut nyawa isteri tercinta, Noraini Ibrahim, 49, serta dua anak mereka, Khairul Nurhaziqq, 18, dan Khairul Nurhadiff, 11.

“Kedukaan ditanggung keluarga berkenaan mendapat perhatian Seri Paduka Banginda yang berkenan berangkat menyantuni mangsa insiden berkenaan. Turut berangkat mengiringi, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor,” menurut hantaran berkenaan.

Keberangkatan baginda berdua turut diiringi Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia Cawangan Negeri Johor, Datin Siti Azizah Omar dan Pegawai Daerah Kluang, Azurawati Wahid.

“Sesi lawatan berkenaan dimulakan dengan bacaan tahlil ringkas dan doa buat mangsa yang terkorban.

“Bagi meringankan beban yang dihadapi, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor,” menurut hantaran itu lagi.

Selain itu, Seri Paduka Baginda turut menitahkan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) untuk membiayai sepenuhnya kerja-kerja baik pulih dan pembangunan semula rumah teres dua tingkat milik mangsa yang terjejas dalam kebakaran tersebut.

Sementara itu, Khairul menzahirkan rasa sebak dan syukur di atas keberangkatan Seri Paduka Baginda serta Che’ Puan Mahkota Khaleeda.

“Saya berterima kasih di atas keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap nasib yang menimpa kami sekeluarga. Walaupun nyawa mereka tiada gantinya, namun saya bersyukur apabila ramai orang mendoakan arwah isteri dan anak-anak saya,” luah Khairul kepada Royal Press Office (RPO). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |